Siakap Keli
jalan tar tutup ahad
Gambar: FB DBKL

DBKL Tutup Jalan TAR Setiap Ahad Bermula Semalam, Jadi Kawasan ‘Mesra Pejalan Kaki’ Macam Pontevedra Di Sepanyol

Bermula pada Ahad semalam (28 Ogos 2022), Dewan Bandaraya kuala Lumpur (DBKL) menutup Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bermula dari 6 pagi sehingga ke 12 tengah malam. Ini adalah untuk menjadikan Jalan TAR sebagai kawasan mesra pejalan kaki.

Jalan TAR sudah dikenali sebagai tempat membeli-belah yang selalu menjadi pilihan rakyat Malaysia. Mana kan tidak, terdapat pelbagai pilihan produk yang menarik dengan tawaran harga yang berpatutan. Jalan TAR juga merupakan antara tarikan pelancong bagi sesiapa sahaja yang melawat Kuala Lumpur, sama ada tempatan mahupun luar negara.

Akan tetapi, sejauh manakah tempat ini menjadi destinasi selamat dari sudut jalan raya? Bayangkan seorang ibu sedang membuat pilihan barangan di kedai dan sesuatu telah menarik perhatian anaknya untuk pergi arah jalan raya. Bahaya bukan? Sepatutnya pengalaman membeli belah perlu dilakukan dengan tenang kerana pembeli perlu membuat pilihan yang tepat, bukannya dalam keadaan tergesa-gesa.

Justeru, penutupan jalan pada setiap Ahad seperti ini merupakan inisiatif DBKL untuk menjadikan Jalan TAR sebagai satu kawasan mesra pejalan kaki. Difahamkan, sepanjang jalan ini bermula dari persimpangan Jalan Esfahan sehingga ke persimpangan Jalan Melayu akan ditutup kepada semua kenderaan pada setiap Ahad.

Penutupan Jalan TAR Kepada Kenderaan Pada Ahad

Kredit: Facebook DBKL

Penutupan Jalan TAR bukanlah sengaja dibuat tanpa tujuan, jauh sekali untuk menyukar atau membebankan pengguna jalan raya khususnya pemilik kenderaan. Namun usaha yang dilakukan ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang dilihat boleh mengurangkan ‘kualiti pengalaman’ sewaktu mengunjungi Jalan TAR, lebih-lebih lagi melibatkan jalan raya.

Pertama, kita dapat meningkatkan keselamatan jalan raya kerana tiada kenderaan yang menyusuri jalan tersebut. Perkara ini menjadikan kawasan tersebut mesra pejalan kaki kerana mereka tidak perlu risau akan keselamatan ketika berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Ibu bapa yang membawa anak-anak yang masih kecil juga tidak perlu bimbang akan keselamatan anak-anak mereka dan boleh fokus untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki.

Kredit: Facebook DBKL

Kedua, penutupan Jalan TAR terhadap kenderaan dapat mengurangkan kesesakan yang sering berlaku dalam kawasan tersebut. Tempat yang menjadi tarikan pelancong sepatutnya dipenuhi dengan manusia, bukannya dengan kenderaan. Ketiadaan kenderaan di kawasan ini boleh membantu pengunjung untuk lebih menghayati seni bina bangunan, lukisan mural dan suasana kawasan tersebut dengan lebih autentik.

Disebabkan tiada kenderaan yang lalu lalang, maka tiada keperluan untuk menyediakan ruangan parkir di kawasan tersebut. Ruangan parkir yang tidak digunakan pada Ahad boleh dijadikan satu peluang kepada peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan mereka setiap hujung mingguan dengan kos persediaan yang rendah. Persembahan muzik jalanan, lukisan potret dan inai dan sebagainya dilihat dapat ‘memberi nyawa’ kepada tempat tersebut.

Kredit: Facebook DBKL
Kredit: Facebook DBKL

Selain itu, pihak DBKL juga mengadakan initiatif yang dilihat sangat bernas iaitu menyediakan ruangan untuk anak-anak kecil beriadah dan bermain dengan pengawasan petugas. Perkara ini sangat memudahkan urusan ibu bapa kerana tidak perlu khuatir jika anaknya menjadi bosan dan meragam ketika mencari barangan.  Ini juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi kanak-kanak kerana mereka boleh membuat rakan baharu sewaktu bermain-main di ruangan tersebut.

Gambar: FB DBKL

Hampir Menyamai Konsep Bandar Mesra Pejalan Kaki, Pontevedra di Sepanyol

Daripada sudut pandang lain, inisiatif DBKL ini boleh dikatakan agak hampir menyamai pelaksanaan konsep yang sama dengan sebuah bandar di Sepanyol. Bandar Pontevedra merupakan sebuah bandar yang telah mengharamkan kemasukan kenderaan sejak 23 tahun lalu, bermula pada tahun 1999. Tindakan ini telah mendatangkan hasil yang lumayan kepada produktiviti masyarakat, alam sekitar dan lain-lain lagi.

Sebelum ini, Siakap Keli ada menulis artikel mengenai bandar unik ini. Menurut artikel tersebut, pelbagai kebaikan yang dapat dilihat seperti tiada kemalangan maut dicatatkan sejak 2009. Kadar pelepasan karbon dioksida (CO2) juga menurun sebanyak 70 peratus, sangat bagus untuk meningkatkan kualiti udara dan alam sekitar.

Keratan artikel terdahulu

BACA JUGA: Pontevedra, Bandar Di Sepanyol Paling ‘Bebas Kereta’ Sejak 23 Tahun Lalu

Akhir kata, kita dapat melihat inisatif DBKL yang sangat baik bagi melestarikan pengalaman pengunjung yang berada di Jalan TAR. Merevolusikan satu kawasan sebagai mesra penjalan kaki sekali gus menjadikan ia mesra kanak-kanak mahupun pelancong juga. Kita sebagai rakyat wajarlah menyokong insiatif ini dan jika anda memiliki sebarang cadangan penambahbaikan, anda boleh nyatakan cadangan anda kepada pihak DBKL menerusi laman Facebook mereka.

Jom kita tonton video yang dikongsikan di Facebook DBKL mengenai kemeriahan suasana pejalan kaki di Jalan TAR pada semalam di bawah. Anda juga boleh melihat gambar-gambar menarik seterusnya di laman Facebook DBKL di sini.

 

Sumber: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.