Terletak 32 Juta Tahun Cahaya Dari Bumi, NASA Dedah Imej Terbaharu Galaksi Phantom
Menakjubkan, itu yang dapat diperkatakan apabila melihat gambar terbaharu Galaksi Phantom yang dicerap oleh Teleskop James Webb milik Pentadbiran Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) baru-baru ini.
Memetik laporan CNN, Galaksi Phantom merupakan lingkaran sistem suria yang terletak di 32 juta tahun cahaya dari bumi.
Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang turut bekerjasama dengan NASA berkata imej-imej galaksi yang terletak dalam buruj Pisces itu dicerap menggunakan data daripada Teleskop Hubble dan Teleskop James Webb.
Difahamkan, James Webb mengesan filamen gas dan habuk halus dalam lingkaran galaksi tersebut sehingga memberikan pandangan yang jelas pada gugusan bintang nuklear di pusat galaksi.
Ia juga menggunakan Instrumen Inframerah Pertengahan (MRI) untuk memeriksa galaksi tersebut sebagai sebahagian daripada projek untuk memahami fasa awal pembentukan bintang.

Walaupun James Webb dikatakan ‘pakar’ dalam memerhati panjang gelombang cahaya inframerah, namun Hubble juga mempunyai ‘penglihatan’ yang sangat tajam pada panjang gelombang ultraungu.
Hal ini membolehkan Hubble mendedahkan kawasan pembentukan bintang yang terang, yang dikenali sebagai kawasan HII dalam Galaksi Phantom.
Gabungan data daripada kedua-dua teleskop membolehkan saintis mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai Galaksi Phantom dan mencipta imej kosmos yang menakjubkan.
Untuk pengetahuan, Galaksi Phantom yang turut dikenali sebagai M74 itu ialah sejenis galaksi ‘lingkaran reka bentuk besar’ yang mempunyai keluasan lingkaran yang jelas.
Imbas kembali, NASA pertama kali mendedahkan imej terbaru alam semesta yang dicerap oleh James Webb pada Julai lalu. Teleskop itu lebih besar daripada Hubble dan mampu memerhati galaksi yang sangat jauh sehingga membolehkan saintis mempelajari pembentukan awal bintang.
BACA: Bagai ‘Alam Fantasi’, Teleskop James Webb NASA Dedah Gambar Terkini Alam Semesta
Sumber: CNN