Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kanak-Kanak Maut, Sembilan Cedera Nahas Tiga Kereta
KOTA TINGGI — Seorang kanak-kanak lelaki, 10, maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 44.2 Jalan Johor Bahru-Mersing pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian sekitar jam 7.50 malam.
Katanya, kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Saga, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Corolla Cross.
Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun bersama empat penumpang yang berumur 87 tahun hingga 7 tahun.
“Perodua Alza pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama lima penumpang berusia antara tiga hingga 54 tahun, manakala Toyota Corolla Cross dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kemalangan tersebut, seorang kanak-kanak yang merupakan penumpang belakang kereta jenis Saga telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah Yusof, mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan. Manakala kesemua pemandu dan penumpang telah dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya,” katanya lagi.
Sumber: Polis Daerah Kota Tinggi