Tiga Maut Dalam Nahas Di Lebuhraya KL-Seremban
KUALA LUMPUR — Tiga lelaki dilapor maut di susur keluar Lebuhraya KL-Seremban selepas selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan, awal pagi tadi, lapor Astro AWANI.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.57 pagi.
Bertindak atas maklumat, seramai 10 anggota dan satu jentera FRT2 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi serta bantuan dari BBP Bukit Jalil digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 6.07 pagi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.
“Terdapat tiga mangsa lelaki dewasa yang tersepit di dalam kenderaan. Operasi menyelamat mengambil masa hampir sejam sebelum kesemua mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya.
Walau bagaimanapun, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pada jam 7.29 pagi, operasi ditamatkan sepenuhnya sementara kes itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.