Tiga Sungai Di Selangor & KL Lepasi Paras Bahaya
Tiga sungai di Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan paras air melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat di beberapa stesen pemantauan.
Tiga Sungai Lepasi Paras Bahaya
Berdasarkan laman web Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat jam 6.15 hingga 6.30 petang, dua sungai di Selangor dan satu di Kuala lumpur merekodkan bacaan melebihi paras normal.
Di Selangor, Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang mencatatkan paras air 3.10 meter, melebihi paras bahaya 3 meter sebanyak 0.10 meter.
Manakala di Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak pula merekodkan paras air 24.09 meter, melepasi paras bahaya 23.70 meter sebanyak 0.39 meter.
Di Kuala Lumpur, Sungai Klang di Lembah Keramat mencatatkan bacaan 48.24 meter, iaitu 1.07 meter melebihi paras bahaya 47.17 meter.
Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sungai terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa paras air menerusi portal rasmi Info Banjir JPS.
