Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerja-Kerja Pendalaman Sungai Pelempas Bermula Esok - MB Selangor

kerja
Kredit: Facebook Amirudin Shari

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) -- Kerja-kerja pendalaman Sungai Pelempas akan dimulakan esok bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan kesan banjir di Kampung Melayu Subang, manakala beberapa kolam takungan hujan di sekitar Elmina akan dibersihkan segera.

Iklan

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara tindakan segera yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Pelan Mitigasi Banjir dipengerusikan beliau hari ini, bersama-sama wakil jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan bagi menyelaras tindakan di kawasan terjejas.

“Saya sendiri akan turun meninjau lokasi berkenaan dalam masa terdekat bagi memastikan kerja mitigasi segera ini dilaksanakan dengan teratur dan pantas,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Beliau berkata mesyuarat itu turut meneliti kemajuan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai penyelesaian jangka panjang, selain membincangkan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan risiko serta kesan banjir kepada penduduk.

Amirudin berkata beberapa langkah mitigasi segera turut dikenal pasti bagi menangani masalah limpahan kolam takungan di Seri Alam yang menjejaskan Greenhill, Taman Saujana Aman dan kawasan sekitar.

Beliau turut dijadual bertemu penduduk di kawasan terbabit minggu depan bagi mendengar pandangan serta kebimbangan mereka, selain menerangkan tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.

Amirudin berkata beliau memahami keresahan keluarga yang berdepan kejadian banjir berulang dan menegaskan setiap keputusan perlu disusuli tindakan segera di lapangan serta dipantau pelaksanaannya.

“Keselamatan serta kebajikan penduduk terus menjadi keutamaan kita,” katanya.

Susulan Monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi, beberapa kawasan di Selangor berdepan kejadian banjir sehingga menyebabkan kediaman penduduk, khususnya di Kampung Melayu Subang, dinaiki air.

-- BERNAMA

Intipati
  • Pendalaman Sungai Pelempas akan bermula esok bagi mengurangkan kesan banjir Kampung Melayu Subang.
  • Kolam takungan hujan sekitar Elmina akan dibersihkan segera selepas mesyuarat khas mitigasi banjir.
  • Amirudin akan bertemu penduduk minggu depan bagi mendengar pandangan dan menerangkan tindakan kerajaan negeri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan