Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menzahirkan penghargaan kepada pihak media atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, kementerian berpuas hati dengan prestasi yang dicapai setakat ini, malah menunjukkan peningkatan positif meskipun tahun 2026 masih belum berakhir.
Katanya, satu laporan mengenai pencapaian kementerian akan dikemukakan kepada pihak media dalam masa terdekat.
Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2026 malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengamal media yang membantu kementerian menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama antara kementerian dan media akan terus diperkukuh, selain berharap hubungan baik itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Mengulas mengenai persiapan pilihan raya yang dijadual berlangsung pada Sabtu, beliau menyeru rakyat supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan keluar mengundi.
Ujarnya, setiap pengundi mempunyai hak untuk menentukan pilihan masing masing dalam memilih kerajaan negeri.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet, Ramanan menjelaskan perkara berkenaan merupakan keputusan Perdana Menteri.
Jelasnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meluahkan rasa sedih sekiranya rakan Kabinetnya meninggalkan barisan pentadbiran.
“Dia sangat baik dengan saya. Dia rakan Kabinet saya. Saya akan rindukan beliau.
“Tetapi, ini adalah keputusan dan pendirian beliau. Kita perlu menerimanya,” katanya.

