Selangor FC mengesahkan telah mengemukakan laporan bertulis secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung insiden kekecohan yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu.
Dalam kenyataan hari ini, kelab itu memaklumkan laporan berkenaan diserahkan bagi membolehkan FAM meneliti serta menjalankan siasatan terhadap insiden yang berlaku.
Menurut Selangor FC, pihaknya komited mempertahankan hak dan keselamatan pemain serta pegawai kelab dalam apa jua keadaan.
“Pihak kelab ingin memberi jaminan kepada semua pemegang taruh kelab, termasuk penyokong, bahawa pihak kelab komited untuk mempertahankan hak dan keselamatan pemain serta pegawai dalam apa jua keadaan.
“Selangor FC berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi serta akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak FAM.
“Ia bagi memastikan proses siasatan yang adil dan saksama dapat dijalankan berhubung perkara ini demi memelihara martabat bola sepak tanah air,” menurut kenyataan itu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu dicemari insiden kekecohan membabitkan pegawai dan pemain kedua dua pasukan di kawasan bangku simpanan ketika penghujung masa tambahan.
Insiden dipercayai tercetus apabila pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor berlari ke arah ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon yang berada di kawasan bangku simpanan ketika meraikan jaringan sendiri pemain Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal Mahadi.
Susulan kejadian itu, Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan meminta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalankan siasatan terhadap tindakan Nazmi yang didakwa mencetuskan kekecohan.
Semalam, MFL mengesahkan pihaknya telah menyerahkan segala maklumat diterima berhubung insiden berkenaan kepada FAM untuk penelitian dan tindakan lanjut menerusi Jawatankuasa Tatatertib, selaras dengan bidang kuasa badan induk itu.
Dalam perkembangan sama, penyokong Selangor turut mempersoalkan mutu pengadilan perlawanan berkenaan, khususnya keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kuching City.


