Sebuah helikopter yang disewa oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) terhempas ke Sungai Barito di Daerah Barito Kuala, Kalimantan Selatan, pada Ahad.
Bagaimanapun, kesemua tiga kru yang berada di dalam pesawat berkenaan dilaporkan terselamat dalam kejadian itu.
Helikopter jenis Eurocopter EC225LP Super Puma dengan nombor pendaftaran VH-HGM itu sedang menjalankan operasi pengeboman air bagi memadam kebakaran hutan dan tanah di Kampung Tabatan, Daerah Kuripan ketika nahas berlaku.
Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Kristomei Sianturi berkata, pihaknya telah menerima laporan awal berhubung kejadian itu dan mengarahkan pasukan tindak balas kecemasan mengawal lokasi nahas serta mengumpulkan maklumat lengkap mengenai insiden berkenaan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Berton SP Panjaitan berkata, pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada pasukan di lapangan sebelum mengeluarkan laporan lengkap kepada orang ramai dan pihak berkaitan.
Punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan sedang menunggu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.
Rakaman video yang tersebar di media sosial dipercayai menunjukkan helikopter berkenaan hilang kawalan ketika melakukan pergerakan sejurus mengambil air dari sungai menggunakan peralatan Bambi Bucket untuk memadam titik panas kebakaran berhampiran.
Penilaian awal tidak melaporkan sebarang kematian, manakala pasukan kecemasan kekal bersiap siaga di lokasi bagi memantau operasi pemulihan selepas nahas.
Helikopter dengan Nombor Siri Pengeluar (MSN) 2878 itu dimiliki sebuah syarikat swasta sebelum disewa oleh BNPB bagi menyokong operasi pemadaman kebakaran dari udara di wilayah yang sering terdedah kepada kebakaran berkenaan.
Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas sebuah helikopter Tentera Nasional Indonesia (TNI) jenis Mi-17V5 terhempas di perairan berhampiran Kampung Sungai Perlu, Kuala Pembuang, Kalimantan Tengah, pada Rabu, 4 November.
Helikopter berkenaan ditugaskan menjalankan operasi pemadaman kebakaran di Taman Nasional Tanjung Puting (TNTP).
Nahas tersebut mengorbankan tiga anggota tentera Indonesia, iaitu Leftenan Kolonel (anumerta) Dudi Firmansyah, Kapten (anumerta) Nurhafiz Akbar dan Sarjan Satu (anumerta) Heri Prasetyo.
Lima lagi kru terselamat dalam kejadian itu, masing-masing Kapten Febri, Leftenan Dua Fercis, Prebet Gilang, Sarjan Kadiya dan Kapten Suganda.

