Tiga individu dilaporkan maut selepas dua helikopter bertembung di udara berhampiran sebuah lapangan terbang kecil di Oregon, Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa.
Kejadian yang melibatkan sebuah helikopter Robinson R22 dan sebuah helikopter Airbus itu berlaku berhampiran Lapangan Terbang Perbandaran McMinnville pada petang Khamis, lapor BBC.
Menurut pejabat syerif, kedua-dua helikopter berkenaan terhempas di sebuah kawasan padang bersebelahan lebuh raya selepas pertembungan tersebut.
Pihak berkuasa mengenal pasti dua daripada mangsa sebagai seorang jurulatih penerbangan berusia 22 tahun dari Texas dan seorang pelatih juruterbang dari United Kingdom (UK), yang berada di dalam salah sebuah helikopter.
Seorang lagi mangsa yang merupakan satu-satunya individu di dalam helikopter kedua turut terkorban.
Bagaimanapun, punca sebenar nahas itu masih belum dapat dipastikan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) telah berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.
Tiga maut dalam nahas helikopter bertembung di udara
Jurulatih penerbangan yang berada di dalam helikopter Robinson R22 dikenal pasti sebagai Maddie Aasbo.
Bagaimanapun, identiti pelatih juruterbang dari UK yang turut berada di dalam helikopter sama masih belum didedahkan kepada umum.
Pihak berkuasa kini bekerjasama dengan pihak konsulat dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bagi memaklumkan kejadian itu kepada waris terdekat mangsa.
Sementara itu, mangsa yang merupakan satu-satunya individu di dalam helikopter Airbus dikenal pasti sebagai Tyler Delane Sturdevant, 38, dari Newberg, Oregon.

Menurut kenyataan syarikat Jerry Trimble Helicopters, salah sebuah helikopter yang terlibat dalam nahas berkenaan dikendalikan oleh syarikat itu.
Jerry Trimble Helicopters merupakan sebuah sekolah latihan penerbangan yang berpangkalan di Lapangan Terbang Perbandaran McMinnville.
“Jerry Trimble Helicopters amat berdukacita untuk mengesahkan bahawa salah sebuah pesawat kami terlibat dalam insiden penerbangan petang ini,” menurut kenyataan syarikat tersebut.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat.
Dalam pada itu, pihak berkuasa meminta orang ramai supaya mengelakkan kawasan kejadian bagi membolehkan operasi kecemasan dan siasatan dijalankan dengan lancar.


