18 Terbunuh Dalam Serangan Bom Ketika Solat Jumaat Di Masjid Afghanistan
Seorang ulama terkemuka dilaporkan adalah antara 18 orang yang terbunuh dalam satu letupan bom di luar sebuah masjid di bandar Herat, Afghanistan.
Mujib Rahman Ansari bersama dengan abangnya, anggota keselamatannya dan beberapa orang awam yang berkumpul untuk solat Jumaat dilaporkan telah terbunuh dalam letupan yang disyaki dilakukan pengebom berani mati, kata pegawai.
Difahamkan bahawa, dalang di sebalik letupan tersebut belum lagi dikenal pasti.
Menurut BBC, pihak Taliban menyatakan bahawa serangan tersebut sebagai ‘jahat’ dan ‘pengecut’.
Pembunuhan itu adalah yang terbaru dalam rentetan pembunuhan tokoh pro-Taliban terkemuka di negara tersebut.
Menurut polis, Ansari baru sahaja tiba di masjid Gazargah untuk mengimamkan solat Jumaat.
Seorang pengebom berani mati dilaporkan sempat mencium tangan ulama itu sebelum meletupkan dirinya.
Imej yang tidak rasmi di media sosial menunjukkan beberapa mayat yang berlumuran darah terbaring di perkarangan masjid berkenaan.
Pegawai tempatan berkata sekurang-kurangnya 23 orang cedera dalam serangan itu, pun begitu laporan tempatan menggangarkan jumlah korban mungkin jauh lebih tinggi.
“Malangnya, ulama terkenal negara Mawlawi Mujib Rahman Ansari telah syahid dalam serangan pengecut semasa solat Jumaat di Herat,” kata seorang jurucakap Taliban.
Ulama tersebut dilaporkan terkenal di Afghanistan kerana menyokong pemerintahan Taliban.
Belum ada pihak yang difahamkan bertanggungjawab ke atas serangan itu setakat ini, namun kumpulan militan Negara Islam (IS) pada sebelum ini dilaporkan pernah mengeluarkan video yang mengancam ulama pro-Taliban itu.
Keadaan keselamatan di negara tersebut dilihat bertambah baik ekoran pengambilalihan Taliban, namun sejak akhir-akhir ini ia dilaporkan semakin memburuk.
Ansari ialah ulama Islam keempat yang rapat dengan Taliban yang telah dibunuh dalam tempoh kurang dua bulan.
IS dilaporkan mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa serangan sebelum ini termasuklah letupan pengebom berani mati yang berlaku bulan lalu di ibu kota Kabul yang membunuh pemimpin agama pro-Taliban Sheikh Rahimullah Haqqani.
Beberapa hari kemudian 21 orang dilaporkan terbunuh dalam satu letupan di masjid Kabul.
Sumber: BBC
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”