Siakap Keli
kisah mary ann bevan
Gambar: All That's Interesting via Google

Muka Berubah Pelik Lepas Suami Meninggal, Kisah ‘Mary Ann Bevan’, Digelar Wanita Paling Hodoh Dalam Sejarah Dunia

Sanggup jadi bahan ejekan ramai demi duit poket untuk sara anak, ini kisah Mary Ann Bevan, digelar wanita paling hodoh dalam sejarah dunia.

Setiap orang mempunyai kecantikan dan keistimewaan tersendiri di dalam diri. Namun, tahukah anda terdapat seorang individu yang digelar sebagai wanita paling hodoh dalam sejarah dunia?

Dikenali dengan nama Mary Ann Bevan, dia dilahirkan pada 20 Disember  1874 di Plaistow, London. Mary mempunyai lapan adik-beradik termasuknya.

Pada awalnya, dia menjalani kehidupan normal sama seperti orang lain. Pada tahun 1903, Mary mula mendirikan rumah tangga bersama pasangan hidupnya, Thomas Bevan.

Gambar: AmusingPlanet

Difahamkan, pada asalnya Mary bekerja sebagai jururawat, manakala Thomas pula merupakan seorang tukang kebun pasar. Kedua-dua mereka dikurniakan empat orang anak hasil sepanjang usia perkahwinan.

Bagaimanapun, mahligai yang dibina bersama selama 11 tahun itu tidak bertahan lama apabila suami Mary akhirnya meninggal dunia secara tiba-tiba pada 1914.

Bermula dari itu, akhirnya Mary terpaksa mencari nafkah seorang diri untuk menyara anak-anaknya selepas ketiadaan Thomas.

Kisah hitam di sebalik gelaran wanita paling hodoh di dunia

Dibebani dengan hutang dan masalah kewangan selepas kematian suami, Mary mula menyedari bahawa dia menghidap penyakit yang dikenal sebagai Acromegaly.

Acromegaly merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan ‘pertumbuhan tidak normal’. Ekoran itu, dia sering mengalami migrain secara berterusan dan rasa tidak selesa pada badan yang teruk.

Namun apa yang lebih menyedihkan tentang penyakit yang dialaminya itu adalah penampilan wajahnya yang jauh berbeza dengan wajah asal, daripada seseorang yang berwajah cantik kepada riak yang ‘pelik’, bersegi dan tua.

Perkara itu nyata mengubah detik kehidupannya sebagai manusia biasa kepada sesuatu yang tidak disenangi oleh orang lain.

Gambar: AmusingPlanet

Demi menyara keluarga tersayang, pada sekitar 1920-an, Mary memutuskan bertemu dengan lelaki bernama A. Chapman dari Blackpool untuk menyertai pertandingan wanita yang paling hodoh di dunia.

Dalam pertandingan tersebut, Mary menyertainya sebagai salah seorang peserta yang memiliki kriteria dikehendaki dan siapa sangka, gelaran pemenang ‘wanita terhodoh di dunia’ jatuh kepada dirinya sendiri.

Justeru, tidak mahu mengambil waktu yang lama, wanita itu ditawarkan pekerjaan untuk melakukan pertunjukan sampingan (seakan fashion show) di sarkas Coney Island’s Dreamland yang terletak di Brooklyn, New York.

Dalam pekerjaan ‘unik’ itu, dia juga dibawa ke beberapa tempat lain di US, Scotland, England sehinggalah ke Ireland Utara untuk menjadi tontonan umum dengan gelaran ‘wanita paling hodoh di dunia’.

Bermula dari itu, Mary sudah menjadi tarikan utama di sarkas berkenaan dengan ‘meraih’ pelbagai ejeken, cemuhan dan hinaan yang dilontarkan terhadapnya sebagai satu ‘hiburan’ ramai hari demi hari.

Walaupun sedih menjadi bahan gelak ramai, Mary terpaksa reda membiarkan diri menjadi ‘patung’ demi mahu mendapatkan wang untuk mencari sesuap nasi untuk anak-anak.

Namun difahamkan, dalam masa sama, dia juga sering bertemu dengan pakar bedah saraf, Harvey Cushing yang sudi memberi pembelaan atas penderitaan dan nasib malangnya.

Gambar: All That’s Interesting via Google

Demi memastikan kelangsungan hidup, Mary terpaksa bekerja di sarkas berkenaan sehingga akhir hayatnya pada usia 59 tahun iaitu pada 1933.

Mary Ann Bevan mungkin pernah mencipta nama sebagai wanita paling hodoh dalam sejarah dunia, namun gelaran itu jualah yang menjadikan dirinya simbolik kepada opportunisme dan optimisme.

Menurut ahli endokrinologi dari Belanda, Wouter de Herder, dia juga turut bersimpati dengan keadaan Mary yang pernah menjadi jururawat muda yang cantik sebelum mengalami penyakit itu.

Sehingga kini, masih ramai orang yang sering menilai manusia dari segi rupa parasnya sahaja. Seandainya mereka mampu melihat dan menilai hati budi seseorang, Mary Ann Bevan sepatutnya layak diberi gelar ‘wanita tercantik di dunia’.

Mungkin secara definisinya, cantik yang dimiliki Mary bukanlah pada wajah semata-mata, namun terletak pada hati dan jiwa raga yang sanggup meletakkan diri pada tingkat paling bawah demi kelangsungan hidup bersama anak.

Oleh itu, rupa paras tidak mencerminkan atau menggambarkan keperibadian seseorang itu mulia ataupun tidak kerana yang cantik rupanya belum tentunya baik dan yang hodoh belum tentu jahat.

Sumber: AmusingPlanet

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.