Siakap Keli
Kredit: Kementerian Perlancongan dan Antikuiti Mesir

Pasukan Arkeologi Temui ‘Kota Luxor’, Wilayah Yang Pernah ‘Hilang’ Ketika Tamadun Mesir Purba

Sepasukan ahli arkeologi dengan kerjasama kementerian tempatan menemui Kota Luxor, sebuah wilayah yang pernah hilang ketika tamadun Mesir Purba.

Bumi merupakan planet yang istimewa kerana ia sudah menjadi ‘rumah’ kepada umat manusia sejak jutaan tahun. Selain daripada memiliki alam semula jadi yang memukau, planet ini telah menyimpan banyak rahsia, khususnya tamadun manusia pada masa lampau. Sudah semestinya penemuan sebegini akan menggemparkan dunia seperti yang berlaku pada tahun lepas.

Kerajaan Mesir temui Kota Luxor yang pernah ‘hilang’

Pada 8 April 2021, sekumpulan ahli arkeologi Mesir telah mengumumkan penemuan tapak ‘Kota Hilang’ Luxor. Misi Mesir purba ini telah diketuai oleh bekas Menteri Antikuiti, Zahi Hawass dan merupakan usaha sama antara  Zahi Hawass Center for Egyptology yang bergabung dengan Bibliotheca Alexandrina dan Majlis Tertinggi Antikuiti. Mereka telah menemui sebuah kota purba di bawah pasir yang dipanggil sebagai  “So’oud Atun” [Ascension of Atun].

Selain itu, kota ini dikatakan wujud sekitar zaman pemerintahan Raja Amenhotep III sehingga pemerintahan Raja Tutankhamun, iaitu pada 3,000 tahun yang lalu. Hawass berkata bahawa kerja ekskavasi yang dimulakan di kawasan ini adalah untuk mencari kuil permakaman Raja Tutankahmun disebabkan kuil Horemheb dan Ay telah ditemui sebelum itu.

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Tambahan pula, Hawass mengesahkan bahawa misi ini menemukan sebuah bandar yang terbesar dalam sejarah Mesir purba. Kota ini telah dibuka oleh salah seorang pemerintah terhebat di Mesir, iaitu Raja Amenhotep III yang merupakan raja kesembilan untuk dinasti ke-18.

Dalam pada itu, Raja Amenhotep III memerintah Mesir purba bermula dari 1391 sehingga 1353 sebelum masihi. Anak lelakinya yang juga merangkap pewaris tahkta, Amenhotep IV (juga dikenali sebagai Akhnaten) juga berkongsi lapan tahun terakhir pemerintahannya.

Di samping itu, Hawass menambah bahawa bandar ini telah menjadi pusat pentadbiran dan perindustrian terbesar dalam era Empayar Mesir purba. Antara penemuan yang dijumpai ialah bangunan rumah-rumah dengan ketinggian tiga meter dan dibahagikan mengikut lorong-lorong di Tebing Barat Luxor.

“Kami telah menemui sebahagian daripada bandar yang memanjang ke arah barat, manakala Deir el-Medina adalah sebahagian daripada bandar kami,” kata Hawass ketika itu.

Saat Pertama Kali ‘Kota Hilang’ Luxor Ditemui

Untuk pengetahuan, proses ekskavasi tersebut telah dimulakan pada September 2020. Dalam beberapa minggu, penampakan beberapa formasi batu-bata lumpur dari semua arah mula kelihatan. Mereka dikejutkan apabila mendapati tapak itu adalah sebuah bandar besar yang masih dalam keadaan baik.

Hal ini dijelaskan melalui keadaan dinding yang hampir lengkap dan bilik yang dipenuhi dengan peralatan untuk kegunaan seharian. Lapisan arkeologi tersebut kekal utuh selama beribu-ribu tahun dan penduduk bandar itu seolah-olah meninggalkannya pada hari semalam.

Professor bagi bidang ilmu pengetahuan Mesir purba di Johns Hopkins University, Betsy Bryan berkata bahawa kota purba tersebut merupakan penemuan arkeologi kedua terpenting selepas penemuan makam Tutankhamun sebelum itu.

Berdasarkan penemuan ini, kita bukan sahaja dapat melihat bayangan bagaimana kehidupan manusia bagi tamadun Mesir purba dalam era empayarnya. Ia juga dapat membantu kita untuk menyelesaikan salah satu misteri terbesar dalam sejarah Mesir purba, iaitu apakah sebab Akhenaten dan Nefertiti membuat keputusan untuk pindah ke Amarna?

Siapa Yang Bertanggungjawab Membina Kuil-kuil Tersebut?

Dalam konteks kerajaan Mesir purba, kawasan ekskavasi terletak antara lokasi Kuil Ramses III di Banadar Habu dan Kuil Amenhotep III di Memnon.  Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tujuan asal bagi misi ini adalah untuk mencari kuil permakaman bagi Tutankhamun.

Justifikasinya, pewaris Tutankhamun, iaitu Raja Ay merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pembinaan kuil tersebut yang merentasi ke bahagian selatannya, bersama Kuil Ramses III di Medinet Habu [Kota Habu].

Struktur ‘Kota Hilang’

Objektif utama bagi misi ini adalah untuk menentukan sejarah bandar tersebut berdasarkan penemuan tulisan hieroglif pada penutup seramik bagi sebuah bekas wain. Rujukan sejarah menyatakan bahawa bandar tersebut mengandungi tiga istana diraja Raja Amenhotep III, tambahan kepada pusat pentadbiran dan perindustrian yang dinyatakan sebelum ini.

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Penemuan bersejarah secara besar-besaran ini telah mengesahkan sejarah bandar tersebut melalui penemuan beberapa item seperti cincin, scarab (azimat berbentuk kumbang), bekas yang berwarna warni serta batu-bata lumpur yang memiliki tanda pengesahan daripada Raja Amenhotep III.

Bukti Kehidupan Masyarakat Mesir Purba

Selepas tujuh bulan penggalian, beberapa kawasan atau kejiranan bandar itu mula ditemui. Di bahagian selatan, pasukan misi menemui tempat menguli roti, ruang memasak dan kawasan penyedian makanan, lengkap bersama beberapa ketuhar dan bekas tanah liat. Ruangan ini dipercayai digunakan untuk menyediakan makanan kepada pekerja yang ramai.

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Bagi kawasan kedua pula, lokasinya agak sedikit tertutup kerana ia merupakan bahagian bagi kawasan pentadbiran dan kediaman. Kawasan ini memiliki unit yang lebih besar, susunan yang baik dan dipagari dengan binaan pagar berstruktur ‘zigzag’.

Selain itu, hanya satu pintu masuk untuk memasuki kawasan koridor dalaman dan kawasan kediaman. Pintu masuk tunggal ini diandaikan sebagai satu langkah keselamatan bagi mengawal keluar masuk seseorang ke dalam kawasan yang tertutup.

Penghasilan Bahan-bahan Pembinaan Kuil Secara Besar-Basaran

Seterusnya, kawasan ketiga yang ditemui dalam proses ekskavasi tersebut merupakan bahagian bengkel. Secara spesifiknya, ini termasuklah kawasan batu-bata lumpur  yang digunakan untuk membina kuil. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, batu-bata tersebut memiliki tanda perakuan daripada Raja Amenhotep III.

Sebilangan besar acuan tuangan turut ditemui bagi penghasilan azimat dan hiasan halus. Perkara ini juga membuktikan terdapat aktiviti meluas di bandar tersebut bagi menghasilkan hiasan kedua-dua kuil dan makam.

Sepanjang tempoh penggalian, pasukan misi juga turut menemui pelbagai peralatan untuk tujuan industri, seperti memintal dan menganyam. Puing-puing logam dan kaca turut ditemui, tetapi kawasan utama aktiviti tersebut masih belum dijumpai (setakat itu).

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Beberapa Penemuan Yang Masih Belum Terungkai

Dua pengebumian lembu atau lembu jantan yang luar biasa juga ditemui di dalam salah satu bilik. Penyelidikan (ketika itu) masih dijalankan untuk menentukan sifat dan tujuan pengebumian ini.

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Selain itu, tapak pengebumian manusia yang menakjubkan juga ditemui dengan tangan jasad tersebut dihulurkan di sebelahnya dan sisa-sisa tali melilit lututnya. Lokasi dan kedudukan rangka ini agak pelik, sekali gus mencetuskan penyelidikan yang lebih mendalam mengenai penemuan ini.

Bagaimana Hasil Ekskavasi Membantu Kita Menghayati Sejarah

Penggalian yang berterusan memberi ahli arkeologi akses kepada lapisan aktiviti asal bandar itu, kerana maklumat penemuan yang diumumkan akan mengubah sejarah dan memberi kita gambaran unik tentang keluarga Tutankhamun.

Selain itu, penemuan bandar yang hilang itu juga akan memberi kita pemahaman yang lebih mendalam tentang kehidupan seharian orang Mesir purba dari segi gaya bangunan dan hias rumah mereka, alatan yang digunakan serta cara mereka mengatur kerja.

Difahamkan, hanya satu pertiga daripada kawasan itu telah ditemui setakat ini dan misi itu akan meneruskan penggalian mereka, termasuk kawasan yang dikenal pasti sebagai tapak berpotensi sebagai kuil pengebumian Tutankhamun.

Akhir kata, Hawass membuat kesimpulan bahawa kita mempunyai banyak maklumat tentang makam dan kuil, tetapi ini adalah kali pertama mereka mendedahkan rahsia tentang kehidupan raja-raja zaman keemasan Mesir.

Kredit: Kementerian Perlancongan dan Atikuiti Mesir

Sumber: Eygpt Today 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.