Thailand telah meluluskan permohonan pengeluar mi segera di negara tersebut untuk naikkan harga produknya. Kenaikan harga ini berikutan peningkatan harga bahan mentah berpunca daripada pelbagai faktor. Peristiwa kenaikan harga makanan ini merupakan kali pertama sejak 2008.
Menurut Jabatan Perdagangan Dalaman, Thailand bakal menaikkan harga mi segera dan ini akan menjadi kenaikan harga barangan makanan pertama selama 14 tahun.
Hal ini disebabkan ekonomi kerajaan tersebut tidak mencatatkan prestasi yang memuaskan, walaupun negara itu sudah membenarkan kemasukan pelancong asing seperti biasa.
Tambahan pula, krisis ini telah dikeruhkan lagi dengan kadar inflasi yang tinggi sepanjang 14 tahun serta kesan kebantutan ekonomi disebabkan perang Rusia – Ukraine.
Sebelum ini, Siakap Keli pernah melaporkan mengenai kebimbangan pengeluar mi segera utama di Thailand berkenaan krisis makanan segara ini.

Menurut laporan tersebut, harga mi segera di Bangkok telah dihadkan kepada 6 baht (RM0.75) sepaket tetapi pihak pengeluar mi segera di negara tersebut mendesak kerajaan untuk menaikkan had kepada 8 baht (RM1) disebabkan kos pembuatan yang meningkat.
Sehubungan itu, Jabatan Perdagangan Dalaman telah mengesahkan bahawa kerajaan akan menaikkan had harga produk tersebut kepada 7 baht (RM0.87) bagi satu paket bersaiz normal dan mula berkuatkuasa pada 25 Ogos, lapor AFP
Keluhan Pihak Pengeluar Mi Segera Di Thailand
Perkara ini berlaku selepas lima pengeluar utama mi segera di Thailand, iaitu Wai Wai, Mama, Yam Yam, Sue Sat dan Nissin mengeluarkan petisyen untuk menaikkan harga produk mi segera mereka.
Pihak pengeluar produk makanan segera di negara tersebut telah menyatakan justifikasi mereka untuk menaikkan harga produk berkenaan pada masa sekarang.
“Kita sedang menghadapi kenaikan harga komoditi, harga minyak untuk tujuan eksport,” jelas Veera Naphaprukchart yang mewakili Thai Preserved Food, sebahagian daripada jenama popular Wai Wai.
Harga tepung gandum telah meningkat sebanyak kira-kira 66 peratus manakala harga minyak masak pula meningkat sebanyak dua kali ganda, kata beliau.
Veera juga menunding jari terhadap insiden pencerobohan Rusia ke dalam Ukraine, yang telah menjejaskan pengeluaran gandum di dunia,sekali gus meningkatkan kos sara diri.
Selain Veera, Pipat Paniangvait, wakil Thai President Food mengatakan bahawa kali terakhir harga mi segera dinaikkan adalah pada 2008.
Tambahan pula, isu pengeluaran mi segera telah ditambah lagi dengan kos eksport yang tinggi, Ini menyebabkan cadangan untuk fokus pada pasaran luar negara, tidak dapat menyelesaikan masalah yang sedia ada.
“Pada masa lalu, kami lebih fokus pada pasaran global untuk mengekang masalah yang dihadapi di sini. Perkara ini disebabkan kami tidak boleh menaikkan harga secara bebas di Thailand,” kata Pipat.
Akhir sekali, Jabatan Perdagangan Dalaman berkata bahawa pihaknya akan terus memantau kos pengeluaran bagi produk-produk tersebut. Tinjauan ini bertujuan adalah untuk melaraskan harga sewajarnya untuk memenuhi keperluan pembeli.
Tindakan yang bijak perlu diambil bagi menjaga kebajikan pihak pengeluar dan mahupun, pihak konsumer seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
BACA JUGA: 14 Tahun Kekal Harga Lama, Pembuat Mi Segera Minta Thailand Naikkan Harga
Sumber: CNA