Didapati Kotor, Warung Ikan Celup Tepung Diarah Tutup 14 Hari
Setiu – Sebuah warung ikan celup tepung di Pantai Penarik di sini diarah tutup selama 14 hari selepas didapati kotor.
Memetik laporan Kosmo, premis makanan itu merupakan antara 24 buah yang telah diperiksa oleh pasukan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) semalam.
Penutupan warung ikan celup tepung itu selaras dengan Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak menepati tahap minimum kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata pihaknya juga telah mengeluarkan 23 notis kompaun berjumlah RM7,200 kepada pengusaha premis-premis lain yang turut diperiksa.
“Seramai 17 daripada 23 notis yang dikeluarkan itu berkaitan kesalahan pemakaian pengendali makanan,” katanya.
Menurutnya lagi, enam kesalahan lain pula adalah kegagalan mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti menggaji pengendali makanan yang tiada pelalian anti-tifoid dan tidak menjalani latihan pengendalian makanan.
Tambahnya, kesemua pengusaha yang dikompaun diarah hadir di mahkamah pada masa terdekat.
Sumber: Kosmo
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”