Siakap Keli
polis mohon maaf jatuh hukum jenayah tak dibuat
Gambar: National Archives via The Guardian

Polis Mohon Maaf Keluarga, Jatuh Hukuman Mati Kepada ‘Suspek’ Atas Jenayah Yang Tak Dibuat 70 Tahun Dulu

Polis mohon maaf kepada keluarga, gara-gara jatuh hukuman mati kepada seorang lelaki atas satu jenayah yang tak dibuat dalam kejadian 70 tahun dulu.

Polis South Wales baru-baru ini dilaporkan membuat permohonan maaf kepada keluarga seorang lelaki yang telah dihukum mati atas jenayah bunuh yang tidak dilakukannya pada 70 tahun dahulu.

Difahamkan, seorang warga Somalia-British, Mahmood Mattan dihukum gantung pada usia 28 tahun ketika September 1952 setelah disabitkan kesalahan membunuh individu bernama Lily Volpert dalam satu kejadian di Cardiff.

Imbas kembali, Mahmood, bekas pelaut yang berasal dari Hargeisa yang pada masa itu dikenali sebagai British Somaliland tersebut ditangkap dalam beberapa jam selepas tragedi pembunuhan Volpert.

Difahamkan, Mahmood didakwa oleh hakim berkulit putih dalam perbicaraan selama tiga hari di Swansea walaupun tiada bukti forensik menunjukkan dia bersalah dalam kes tersebut.

Ayah kepada tiga anak itu pada awalnya membantah hukuman tersebut, bagaimanapun hakim memutuskan beliau bersalah atas kesalahan seperti yang dituduh sebelum akhirnya ditempatkan di penjara British.

46 tahun berjuang tuntut pembelaan

Gambar: National Archives via The Guardian

Walau bagaimanapun, ahli keluarganya tekad melawan keputusan mahkamah. Mereka melancarkan kempen pembelaan menuntut pihak berkuasa membebaskan kembali Mahmood yang mereka percaya tidak bersalah.

Difahamkan, kempen yang dilancarkan oleh isterinya, Laura serta tiga anaknya, David, Omar dan Mervyn itu diperjuangkan tanpa ‘lelah’ selama 46 tahun lamanya.

Perjuangan hampir separuh dekad itu dibuat demi mahu membersihkan semula nama Mahmood yang dipercayai langsung tidak bersalah seperti yang dituduh, walaupun lelaki itu sudah meninggal dunia.

Sehinggalah pada 1998, pihak suruhanjaya akhirnya memutuskan bahawa hukuman tersebut ditarik balik hingga ia dirujuk sebagai kes jenayah pertama yang dibatalkan di peringkat mahkamah rayuan.

Namun difahamkan, pada tahun 2001, keluarga Mahmood menerima pampasan daripada Pejabat Dalam Negeri tetapi mereka tidak menerima permohonan maaf daripada polis sehingga kini.

‘Kes berat sebelah, prasangka & kegagalan sistem keadilan’

Gambar: Kompas
Gambar via Kompas

Ketua Konstabel Polis South Wales, Jeremy Vaughan berkata, penarikan hukuman itu merupakan hal undang-undang yang melibatkan isu perkauman, berat sebelah dan prasangka yang berleluasa dalam masyarakat.

Baginya, proses keadilan jenayah yang berjalan selama ini memang bermasalah dan Mahmood hanyalah mangsa kepada sebuah sistem perundangan yang gagal.

“Tidak ada keraguan lagi bahawa Mahmood Mattan merupakan mangsa kegagalan keadilan akibat daripada pendakwaan yang tidak sempurna ekoran pihak polis juga merupakan sebahagian daripadanya,” katanya.

Kenyataan itu dibuat setelah pihak detektif dari South Wales menyiasat semula kes pembunuhan Volpert yang dibunuh di kedainya pada March 1952 dahulu.

Tambah Vaughan, permohonan maaf yang dibuat oleh pihak polis adalah wajar ekoran ia telah menjatuhkan hukuman gantung kepada seorang lelaki yang tidak bersalah.

“Adalah benar dan wajar permohonan maaf dibuat oleh pihak polis  atas kesilapan dalam kes ini pada 70 tahun lalu dan atas penderitaan teruk keluarga Mattan serta semua yang terjejas akibat tragedi ini selama bertahun-tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, walaupun permohonan maaf sudah dinyatakan, pihaknya masih bekerja keras untuk memastikan isu perkauman dan prasangka dibanteras dari masyarakat terutamanya melibatkan polis.

Bagaimanapun cucu Mahmood, Tanya Mattan berkata kepada BBC bahawa permohonan maaf yang dibuat pihak polis itu sudah pun terlambat.

“Permohonan maaf itu terlalu terlambat untuk orang yang terjejas secara langsung kerana mereka (Mahmood) tidak lagi bersama kami dan kami masih belum mendengar kata-kata ‘Saya minta maaf‘,” katanya.

Sumber: BBC via The Guardian

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.