Siakap Keli
ahmad zahid terima suapan
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sumbangan UKSB: Ahmad Zahid Terima Suapan Untuk Diri Sendiri – TPR

SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) — Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Abdul Malik Ayob berkata sumbangan yang diserahkan oleh pegawai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada Ahmad Zahid adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun UMNO walaupun bayaran itu dikatakan untuk sumbangan politik.

“Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

“UKSB juga tidak pernah membayar wang itu ke dalam akaun UMNO atau menerima resit daripada pembayaran itu. Tertuduh juga tidak pernah menolak atau menyerahkan wang itu semula apabila wang itu diserahkan kepadanya,” kata Abdul Malik dalam hujahnya di akhir kes pendakwaan.

Beliau berkata keterangan daripada tiga saksi utama termasuk dua bekas Pengarah UKSB iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, yang merupakan saksi pendakwaan ke-15, ke-16 dan ke-17 adalah konsisten berhubung penyerahan wang itu kepada Ahmad Zahid.

“Harry Lee dan Wan Quoris Shah bersetuju ketika memberi keterangan bahawa tertuduh tidak pernah menyatakan jumlah wang yang akan disumbangkan, hanya tertuduh menyatakan bahawa sumbangan itu mesti dibuat secara tunai dan dalam mata wang dolar Singapura.

“Mereka juga bersetuju penghantaran wang itu dilakukan di Country Heights, Kajang atau Seri Satria, Putrajaya dan penyerahan dilakukan pada waktu malam selepas 10 malam. Mereka juga dapat menggambarkan kediaman peribadi atau rasmi tertuduh yang penghantaran dilakukan di kediaman itu,” katanya.

Sementara itu, TPR Zander Lim Wai Keong berhujah mengenai aduan pihak pembelaan bahawa pihak pendakwaan telah bertindak secara tidak adil, bias dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap tertuduh.

“Persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah sama ada hak tertuduh terhadap perbicaraan yang adil telah dilanggar atau tidak,” katanya.

Beliau berkata Ahmad Zahid telah diwakili oleh pasukan peguam yang kompeten, diberi peluang menyoal balas saksi pendakwaan dan diberi peluang untuk membela diri semasa kes pendakwaan serta diberi masa yang mencukupi untuk memfailkan hujahan bertulis.

“Tertuduh juga diberi hak untuk mengemukakan pembelaan secara lisan pada penutup kes pendakwaan dan tanpa keraguan, kes ini dibicarakan di hadapan Yang Arif yang merupakan seorang yang adil dan saksama,” katanya.

Zander Lim juga berhujah bahawa tidak ada pelanggaran hak beliau di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak bersifat diskriminasi, tertuduh diberikan hak prosedur yang sama untuk pelepasan dan pembelaan sama seperti tertuduh lain dalam perbicaraan jenayah tanpa diskriminasi.

“Tertuduh berhak mengemukakan semua pembelaan termasuk memeriksa saksi-saksi pendakwaan,” tambah beliau.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan akan menyambung hujahan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa esok.

Sumber: Bernama

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana