Siakap Keli
percubaan bunuh diri
Kredit: AFP via Getty Images/Representative image

Tujuh Bulan Tiada Gaji, Tujuh Pekerja Kilang Tekad Makan Racun

Gara-gara dikatakan tidak dibayar gaji selama tujuh bulan, tujuh pekerja kilang di India tekad menelan racun di tempat kerja dalam kejadian di Indore, Madhya Pradesh baru-baru ini, lapor The Independent.

Ketujuh-tujuh pekerja di sebuah kilang pengeluaran alat dapur itu tekad berbuat demikian bersama-sama selepas dimaklumkan mereka bakal dipindahkan ke kilang lain di bawah syarikat sama.

Salah seorangnya, J (bukan nama sebenar) mendakwa, syarikat tersebut sebenarnya mahu membuang pekerja namun ia dilakukan dengan cara yang ‘halus’.

“Pemilik syarikat, R (bukan nama sebenar) memberitahu kami bahawa kami perlu mendengar arahan daripada pihak pengurusan dan tidak boleh bertanya kepadanya.

“Apabila kami pergi kerja pada hari ini di syarikat lama, mereka berkata tiada kerja untuk kami.

“Kami tahu mereka (syarikat) akan dapat pekerja (lain) dari Delhi dan Mumbai yang ada lebih banyak pengalaman dalam bidang yang sama,” luahnya kepada Indian Express seperti yang dilapor The Independent.

Siasatan awal polis

Sementara itu, jurucakap pihak polis berkata, siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh pekerja berkenaan dikatakan tidak menerima gaji secara tetap sejak tujuh bulan lalu.

Menurutnya pada awalnya pekerja-pekerja tersebut bersetuju dengan pemindahan tugas itu, namun akhirnya kembali membantah dengan memakan racun.

“Pekerja-pekerja tersebut sudah bersetuju dua hari lepas. Tapi lepas tiba di kilang sekitar 11 pagi, mereka menunjukkan bantahan terhadap pemindahan tersebut dan membuat percubaan ‘tamatkan nyawa’ dengan makan racun.

“Mereka telah dibawa ke hospital,” kata jurucakap polis berkenaan.

Dalam pada itu, J yang mendakwa dirinya teraniaya mengatakan R tidak mempedulikan mereka tentang tindakan makan racun tersebut.

Namun R menafikan tuduhan itu, sebaliknya berkata dia tiada di daerah tersebut ketika kejadian.

“Kilang kami menghasilkan wayar dan saya tiada di daerah semasa pengawal keselamatan kilang memaklumkan tentang kejadian pekerja menelan racun itu.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan (sempat) melihat sendiri keadaan kesihatan mereka yang merosot sebelum membawa mereka ke hospital,” katanya.

Jelasnya lagi, dia tidak tahu tentang rungutan yang dibuat oleh tujuh pekerja tersebut.

Walau bagaimanapun, R selaku ‘tauke’ syarikat menjelaskan, kesemua tujuh pekerja tersebut dikatakan berada dalam ‘kondisi yang tidak baik’ dan sebab itulah mereka dipindahkan.

Sumber: Independent

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana