Berhati-hati dalam memilih syarikat pelancongan, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan syarikat pelancongan yang berdaftar secara rasmi di bawah kementerian berkenaan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi peringatan sedemikian menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi siang tadi.
Difahamkan, kenyataan tersebut memberi peringatan serta nasihat kepada masyarakat supaya memilih syarikat yang mempunyai lesen sah untuk melancong.
“Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati memilih syarikat pelancongan.
“Maklumat senarai agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC (boleh dirujuk di sini) https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, MOTAC menerusi kenyataan tersebut turut menyenaraikan 20 syarikat yang dilapor melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 yang ditetapkan oleh MOTAC.
20 syarikat yang tersenarai tersebut ialah Kemonla Malaysia, AS Umrah, Legitt Travel, Al-Irsyad Travel & Tours, Adria Travel & Tours, Tripz Hr Holiday Sdn. Bhd dan Hafizh & Rosma Trading.
Sementara itu, turut tersenarai dalam syarikat yang tidak berdaftar ialah Tna Holdings Sdn. Bhd, MA Sinar Permata Trading, Dr Holisw, Kl, Kopites, Cahaya Raudhah Travel & Tours Sdn. Bhd dan Twin Brothers Venture.
Dalam pada itu, Jejak Warisan Travel & Tours Sdn. Bhd, Young Holiday & Transportation Sdn. Bhd, Want To Go Holiday Sdn. Bhd, Ficlink Travel & Tours Sdn. Bhd. Saknas Travel & Tours Sdn. Bhd dan Gtah Tours Sdn. Bhd turut tersenarai.

Meninjau di ruangan komen, ada pengguna turut mencadangkan nama syarikat lain yang tidak tersenarai yang didakwa menyebabkan orang ramai menjadi mangsa penipuan.
Oleh itu, masyarakat dinasihatkan untuk berhati-hati dalam membuat pemilihan syarikat pelancongan agar tidak terjerumus dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sumber: MOTAC