Dalam satu nahas pagi tadi, sebuah lori simen dilaporkan terhumban ke dalam gaung di Jalan Merit, Kapit hingga mengorbankan tiga mangsa yang menaikinya, lapor AWANI.
Difahamkan, dua daripada mangsa berumur 33 tahun manakala seorang lagi berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.35 pagi.
Dalam misi menyelamat tersebut, seramai 12 anggota bomba bersama jentera, ambulans EMRS dan sebuah kereta Perodua Kembara telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila jentera yang digunakan tidak dapat melalui jalan balik sejauh 30 kilometer.
“Hal ini memaksa pasukan itu menumpang dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen terbabit untuk ke lokasi kejadian,” maklumnya sewaktu dihubungi menerusi AWANI.
Lapor Henderi lagi, lori yang membawa muatan simen itu didapati terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki oleh anggota penyelamat.
“Seramai tiga mangsa yang berada di dalam kenderaan itu dilaporkan tersepit dan pihak bomba terpaksa menggunakan sistem takal dan hidraulik untuk memotong bingkai cermin lori tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan dibawa naik menggunakan kaedah Basket Stretcher,” jelasnya lagi.
Kesemua mayat itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Lelaki Maut Dirempuh, Digilis Lori

Dalam satu laporan AWANI terdahulu, seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai dirempuh sebuah lori dalam satu kejadian di Perak pada awal pagi dalam kejadian lima bulan lalu.
Memetik AWANI, nahas ngeri tersebut dilapor berlaku di Kilometer 281 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sana.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak ketika itu berkata, pada awalnya panggilan mengenai kemalangan tersebut diterima mereka pada 4:31 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, sebuah lori dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Yamaha LC,” katanya, memetik AWANI.
Menurut AWANI, akibat kemalangan tersebut, mangsa, Mazaitul Hafiszan Ma’an, 38, dilapor tercampak di tengah jalan sebelum dipercayai digilis oleh lori yang sama.
Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan bahawa mangsa tersebut telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
BACA JUGA: Lelaki Maut Dirempuh, Digilis Lori Pagi Tadi
Sumber: AWANI