Siakap Keli
Fenomena Garis Badai
Gambar Hiasan via MET Malaysia

Masih Di Fasa Monsun Barat Daya, Ini Ramalan Cuaca Malaysia Sehingga Februari 2023

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan ENSO iaitu fenomena yang disebut sebagai La Niña. 

Fenomena ini dijangka akan berterusan sehingga Disember 2022 dengan 60% kadar kebarangkalian. Walaupun begitu, buat masa ini Malaysia masih lagi berada di dalam fasa Monsun Barat Daya dan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan September 2022.

Menurut MET Malaysia, sepanjang tempoh ini, angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil sekaligus mengurangkan pembentukan awan hujan

“Oleh itu, kebanyakan tempat di seluruh negara cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan.

“Walau bagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang dan petir disebabkan oleh fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi,” jelas mereka menerusi satu kenyataan hari ini. 

Difahamkan, fenomena garis badai merupakan garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan dijangkan boleh berlarutan sehingga beberapa jam. 

Menurut ramalan yang dikeluarkan oleh MET Malaysia, kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 450mm, kecuali di Hulu Perak, Kelantan dan utara Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100mm hingga 200mm pada September ini.

Di Sarawak pula , Bahagian Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangka akan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu di antara 300mm hingga 350mm manakala bahagian lain dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 200mm hingga 350 mm.

“Negeri Sabah dan W.P Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 350mm,” jelasnya lagi. 

Berdasarkan ramalam yang dibuat, bulan Oktober pula merupakan fasa peralihan monsun. Jadi, dalam tempoh ini keadaan cuaca yang lembap dengan terjadinya hujan, ribut petir serta angin kencang menyebabkan fenomena ini lebih cenderung berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat tengah Sarawak. 

Selain itu, taburan hujan dijangka akan melanda negeri-negeri di semenanjung dengan purata di antara 150mm hingga 350mm, kecuali di Negeri Sembilan, Melaka dan utara Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100mm hingga 150mm.

“Di Sarawak, keadaan hujan dijangka pada paras purata iaitu antara 250mm hingga 350mm. Manakala di Sabah, kebanyakan tempat dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400mm. W.P Labuan juga dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 400mm hingga 500mm.

“Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada bulan November dan berakhir pada bulan Mac. Semasa tempoh monsun Timur Laut, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam.

“Beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri – negeri pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak,” lapor MET Malaysia. 

Dalam pada itu, Kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100mm hingga 900mm pada bulan November. 

Manakala Sarawak dijangka akan menerima taburan hujan pada paras 300mm hingga 400mm. Sabah dan W.P Labuan pula dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400 mm. 

Pada bulan Disember 2022 pula, kebanyakan negeri di semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata di antara 50mm hingga 850mm. 

Di Sarawak pula pada Disember nanti, semua bahagian dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata yang sama iaitu di antara 350mm hingga 450mm, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 300 mm hingga 400mm.

Namun,  di Negeri Sabah dan W.P Labuan pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 450 mm.

Dalam bulan Januari 2023, taburan hujan pada paras 50mm hingga 400mm dijangka akan melanda negeri di Semenajung. 

“Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 300mm hingga 450mm, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 450mm hingga 500mm.

“Manakala negeri Sabah dan W.P Labuan pula dijangka akan menerima taburan hujan sekitar 150mm hingga 450mm,” tambah MET Malaysia. 

Pada Februari 2023, negeri-negeri di Semenjung pula akan menerima taburan hujan pada paras purata iaitu dari tiada hujan hingga 250mm. 

“Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka akan menerima jumlah hujan pada paras purata di antara 150mm hingga 400mm, kecuali di Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 300mm hingga 400mm.

“Manakala negeri Sabah dan W.P Labuan pula dijangka akan menerima taburan hujan sekitar 50mm hingga 350mm,” jelas MET Malaysia. 

BACA: Tak Lagi Mampu Bertahan, Tasik Terbesar Pakistan Boleh Melimpah Bila-bila Masa, Burukkan Lagi Bencana

BACA JUGA: Tersiksa Dikurung Bertahun-tahun, Kisah Pilu Liszka, Anjing ‘Terlupa’ Cara Nak Berjalan Bila Dibebaskan

Sumber: MET Malaysia

 

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.