Siakap Keli
Banjir Baling
Gambar via Astro Awani

Baling Dilanda Banjir Lagi Semalam, Air Mengalir Deras Hingga Masuk Rumah Penduduk

Hujan lebat lebih kurang dua jam tanpa henti bermula pada jam 2 petang semalam sekali lagi menyebabkan Baling, Kedah dilanda banjir kilat. 

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol AB Aziz berkata, kawasan di Taman Bayu Sejahtera dan Kampung Sungai Batu dalam Mukim Baling dilanda banjir kilat ekoran hujan yang mula turun pada jam 2 petang itu. 

Menurutnya, limpahan air di Sungai Ketil menyebabkan ia masuk ke kediaman penduduk yang tinggal berhampiran sungai. 

“Anggota yang dalam keadaan bersiap siaga melakukan pemantauan bermula jam 5 petang mendapati air di dua kawasan itu melimpah sehingga memasuki rumah penduduk.

“Namun tiada pemindahan dilakukan dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka sehingga jam 7 petang tadi (semalam),” jelasnya, memetik laporan Awani. 

 

Selain itu, memetik laporan Kosmo, turut dilanda banjir adalah Kampung Iboi dan kawasan-kawasan berhampiran apabila Sungai Kupang dilaporkan melimpah dan mengalir deras setelah berlakunya hujan lebat pada petang semalam.

Menurut laporan, tragedi berulang itu berlaku sekitar 5.30 petang semalam menyebabkan beberapa rumah yang terletak berhampiran dengan sungai mulai dinaiki air. 

Sementara itu, paras air sungai juga dilaporkan telah melepasi Jambatan Bailey di Kampung Iboi dan ia kedudukan jambatan itu sudah sedikit berganjak dari kedudukan asal. 

Orang awam dan penduduk setempat turut berkongsi gambar-gambar dan video-video yang menunjukkan situasi semasa banjir melanda daerah tersebut. Perkongsian yang dibuat di media sosial itu menarik perhatian netizen yang rata-rata melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terjejas.

Sumber: Awani, Kosmo

Faiz Mustafa