Siakap Keli
Kredit Perak Press

Dihuni Lebih 40,000 Penduduk, Kenali Gugusan Manjoi, Dipercayai Perkampungan Terbesar Di Malaysia

Dihuni Lebih 40,000 Penduduk, Kenali Gugusan Manjoi, Dipercayai Perkampungan Terbesar Di Malaysia

Ipoh merupakan sebuah bandar raya ataupun dikenali sebagai ibu Negeri di Perak Darul Ridzuan. Tahukah anda di tengah bandar raya Ipoh terdapat sebuah perkampungan yang diberi nama Kampung Manjoi.

Menariknya mengenai Kampung Manjoi ini, ia dipercayai merupakan perkampungan Melayu yang terbesar bukan sahaja di Perak, malah mungkin juga yang terbesar di Malaysia.

Sejarah Kampung Manjoi bermula pada tahun 1900, di mana kampung ini dipercayai diasaskan oleh seorang lelaki bernama Uda Kidan. Uda Kidan yang berasal dari Bota, Perak bersama-sama dengan beberapa sahabatnya ketika itu datang ke Ipoh dan membuka tanah di luar Bandar Ipoh bertujuan untuk memulakan kehidupan baharu.

Uda Kidan dikatakan sangat rapat dengan datuknya yang bernama Tok Manjoi. Disebabkan itulah juga beliau menamakan kampung tersebut dengan nama Kampung Manjoi bersempena dengan nama datuknya. Beliau juga dikatakan merupakan seorang yang amat warak dan alim.

Tok Manjoi juga pernah berpesan kepada cucunya supaya menjaga tanah di sini dan pastikan penduduk kampung itu tidak bertelagah sesama sendiri.

Versi lain asal-usul nama Manjoi

Namun begitu, ada juga cerita versi lain yang menyatakan nama Manjoi ini diambil daripada nama isteri Uda Kidan, yang digelar sebagai Manja. Perkataan manja itu apabila disebut dengan menggunakan dialek Parit, akan menjadi bunyi yang pekat seperti manje’. Lama kelamaan perkataan itu disebut menjadi Manjoi.

Selepas pembukaan kampung itu, ramai mula berhijrah ke kampung Manjoi itu, terutamanya datang dari Parit dan Bota. Sejak itu, Kampung Manjoi menjadi bertambah besar dan mula dikenali sebagai penempatan Melayu di Ipoh.

Selepas pertambahan jumlah penduduk, kerajaan bersetuju untuk memberi hak milik sementara kepada penduduk kampung itu. Pada akhirnya, ia menarik lebih banyak kampung untuk dibuka di kawasan ini.

Hari ini, Gugusan Manjoi merupakan penempatan Melayu di bandar paling terbesar di Perak bahkan mungkin juga di Malaysia. Penduduk di Gugusan Manjoi kini mempunyai lebih daripada 40,000 penduduk yang meliputi kawasan seluas hampir 600 hektar.

Kredit Orang Perak

Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 29 Januari 2003 telah bersetuju membangunkan gugusan Manjoi. Gugusan Manjoi akan dibangunkan semula dan setanding dengan Silibin, Pasir Puteh dan Pengkalan yang mempunyai kompleks komersial dan rumah moden.

Pembangunan Gugusan Manjoi akan mengikut Pelan Pembangunan Semula Gugusan Manjoi yang membabitkan kos sehingga RM 300 juta, yang akan dilakukan dalam tempoh lima tahun.

Projek fasa pertama permodenan Gugusan Manjoi ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ketika itu pada tahun 2007. Pembangunan fasa pertama ini melibatkan pembinaan Komplek Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi iaitu dengn pembinaan Pejabat Tanah dan Daerah Ipoh, Pusat Perniagaan dan Mini Stadium.

Gambar via Orang Perak

Melalui projek ini, beberapa kemudahan infrastruktur seperti pembinaan semula jalan raya, kemudahan komunikasi, masalah pengangkutan dan kemudahan awam yang telah membelenggu warga penduduk telah diatasi.

Usaha dan komitmen kerajaan untuk membangunkan Gugusan Manjoi tidak akan terlaksana sekiranya tidak mendapat sumbangan dan komitmen daripada anak watan Gugusan Manjoi itu sendiri. Mereka yang merupakan generasi kedua dan ketiga kini telah berada di kalangan golongan kelas menengah Melayu.

Kenapa diberi nama Gugusan, kerana dalam Gugusan Manjoi itu, menempatkan lima buah kampung. Kampung Manjoi, Kampung Manjoi Baru, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah dan Kampung Dato’ Ahmad Said.

Sumber: Orang Perak Perak Press, Wak Bedoi

Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.