Siakap Keli
ayah aniaya seksual anak
Kredit: Fail Awani

Ayah Aniaya Seksual Anak: ‘Tugas Menghukum Hanya Di Bahu Pihak Berkuasa’ – Dr. Zulkifli

Tugas menilai dan ‘menghukum’ isu penganiayaan seorang ayah terhadap anak perempuannya dari sudut seksual dalam sesuatu konflik sepatutnya terletak di bahu pihak berkuasa sahaja.

Mantan Mufti Wilayah, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, atas sebab itulah masyarakat seharusnya perlu dididik untuk bersikap lebih berhati-hati dalam memberi maklum balas mengenai sesuatu isu.

Jelasnya, pada masa sama ia juga turut berkaitan dengan peranan kedua-dua pihak antara ibu bapa dan anak dalam menguruskan konflik keluarga yang berlaku.

“Apabila berlaku konflik kekeluargaan seperti yang tular baru-baru ini, itulah saat terbaik masyarakat untuk kembali memuhasabah peranan masing-masing sebagai anak dan ibu bapa serta memperkukuh kekurangan yang ada dalam keluarga masing-masing.

“Dari sinilah baru kita belajar tentang keperluan pemeliharaan aib dan kepentingan untuk menyalurkan masalah hanya kepada pihak berautoriti.

“Sistem sokongan seperti ini tidak akan berhasil tanpa ibu bapa dan ahli keluarga yang cakna dan benar-benar memainkan peranannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ayah aniaya seksual & emosi anak bukan isu kecil

Dalam pada itu, tambah mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu lagi, jenayah melibatkan penganiayaan secara emosi dan seksual seorang ayah kepada anaknya bukan satu isu yang kecil.

Katanya, walaupun isu tersebut belum dipastikan kesahihannya, namun kebenaran sebenar berdasarkan keputusan mahkamah di peringkat pengadilan adalah perkara yang lebih utama.

Dalam kenyataan itu lagi, Dr. Zulkifli turut menegaskan mengenai peranan ibu bapa serta tanggungjawab mereka untuk menjadi ‘telinga’ kepada anak-anak.

Sebelum kita membangkitkan tentang aib, perkara yang lebih penting untuk kita muhasabah bersama adalah bagaimana sepatutnya sistem keibubapaan berfungsi sebagai tempat untuk anak-anak mengadu dan melaporkan sebarang masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata setiap respon dan tindakan ibu bapa dalam mengendalikan masalah anak menentukan cara anak mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Apakah respon mereka? Bagaimana tindakan mereka? Ia akan menentukan bagaimana kesudahannya bagi si anak sama ada masalah itu dipendam dan anak terus merana atau dibongkar sehingga orang ramai pula yang menghakimi,” katanya lagi.

Ekoran kes tersebut kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa, Dr. Zulkifli menyeru orang ramai supaya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada sistem perundangan.

“Di samping itu, sebagai Muslim kita yakin Allah Maha Adil lagi Bijaksana. Besarnya tanggungjawab ibu bapa, besar juga dosa yang ditanggung jika amanah tidak dilunaskan sebaiknya,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut.

Sumber: Facebook Dr. Zulkifli al-Bakri

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana