Siakap Keli
kerani bunuh bayi
Gambar: Bernama

Bunuh Bayi Berusia 6 Bulan, Kerani Didakwa Di Mahkamah

Seorang wanita yang bekerja sebagai kerani didakwa di Mahkamah Majistret Ampang baru-baru ini atas pertuduhan membunuh bayi lelaki dalam kejadian bulan lepas.

Tertuduh, 34 tahun merekodkan tiada pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

Memetik Utusan, suspek tersebut bekerjasama dengan seorang individu yang dikatakan masih bebas untuk membunuh anak kandungnya yang berusia enam bulan.

Kejadian tersebut berlaku pada 23 Ogos lalu di sebuah rumah di Kampung Klang Gate pada pukul 7.40 malam.

Semasa prosiding itu, tiada jaminan ditawarkan oleh peguam Swinder Sigh dan mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember bagi sebutan kes.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabit kesalahan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan seorang wanita ditahan di lobi Hospital Tunku Azizah pada 29 Ogos lalu kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pegawai perubatan hospital telah menerima seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri ekoran muntah dan sawan.

Pihak hospital kemudiannya mengesahkan bahawa bayi tersebut telah meninggal dunia pada pukul 4.30 petang.

Unsur penderaan disyaki ekoran hasil pemeriksaan menunjukkan bayi tersebut mempunyai kesan lebam di bahagian kening dan paha.

Sumber: Utusan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana