Seorang pempengaruh media sosial, Azfarheri memohon maaf atas tindakan memuat naik gambar paket kacang yang diberikan oleh pramugari penerbangan Malaysia Airlines (MAS) di Twitter baru-baru ini.
Segalanya bermula apabila Azfarheri memuat naik gambar bungkusan plastik yang banyak terisi paket kacang, bertujuan menunjukkan penghargaannya kepada staf penerbangan atas khidmat hospitaliti yang mantap.
“Tadi dalam penerbangan semasa dalam perjalanan balik Malaysia, kita tidurlah. Lepas tu bangun-bangun tiba-tiba ada kacang banyak depan mata, terkejutlah kita lalu tanyalah pramugari tu.
“Rupanya dia bagi. Ambik kau satu beg ye. Terima kasih pramugari MAS yang cantik. Love you dan kacang dan air jus,” katanya dalam hantaran tersebut sebelum ini dengan nada gembira.

Namun, pempengaruh itu tidak menyangka bahawa tindakannya telah mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mendakwa pemberian paket kacang ekstra kepada penumpang adalah menyalahi prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, konflik tersebut dipercayai telah mencetuskan perdebatan antara warganet di media sosial. Justeru bagi menjernihkan keadaan, Azfarheri telah menerangkan situasinya menerusi bebenang di laman Twitter hari ini.
Dia memahami bahawa ramai pihak yang berasa tidak senang mengenai isu gambar kacangnya itu. Sebab itu dia mahu memberi sepenuh kerjasama dengan pihak MAS sendiri untuk mengenal pasti situasi sebenar staf tersebut.
Azfarheri sangat kesal atas apa yang terjadi
Pada awal kenyataannya, Azfarheri menzahirkan rasa kesal atas kekhilafannya kerana telah mencetuskan satu isu yang besar secara tidak sengaja. Dia menjelaskan bahawa paket-paket kacang itu diberi secara percuma.

Dia sangat teruja dan menghargai pemberian paket-paket kacang tersebut walaupun sebenarnya ia bukanlah permintaannya.
Justeru, dia mengakui kesilapannya iaitu memuat naik gambar tersebut tanpa mengambil kira implikasinya terhadap staf berkenaan.
“Silap saya di sini ialah saya post gambar tersebut tanpa mengambil kira impact yang boleh dihadapi pramugari tersebut.
“Sejujurnya saya tak tahu wujudnya SOP yang tak boleh bagi kacang extra kepada penumpang dan saya mohon maaf sebab tak aware dengan benda ni dari awal,” katanya.
Ura-ura staf MAS tersebut diberhentikan perkhidmatannya
Selain itu, terdapat ura-ura mengenai staf tersebut dibuang pekerjaan berlegaran di laman Twitter. Azfarheri ingin memastikan kepastian khabar angin itu terlebih dahulu sebelum mencetuskan lebih banyak salah faham daripada pelbagai pihak.

“Kedua, berkenaan dengan kenyataan yang mengatakan pramugari tersebut dibuang, saya cuba nak kenal pasti kesahihan kenyataan ini terlebih dahulu sebelum ada lagi banyak salah faham dari semua pihak,” katanya.
Menurut Azfarheri, terdapat dua ciapan di Twitter oleh dua individu berbeza yang mendakwa staf penerbangan MAS tersebut dikatakan sudah diberhentikan kerja.
Difahamkan, pemilik Twitter berkenaan sudah pun memadam kenyataan tersebut. Bagaimanapun Azfarheri tetap mahukan penjelasan mengenai dakwaannya.


Namun begitu, kedua-dua ciapan itu telah pun dipadamkan oleh pemilik akaun tersebut. Perkara itu sekali gus menambahkan lagi kekeliruan dialami pempengaruh tersebut.
Oleh sebab itu, Azfarheri berharap kedua-dua pemilik akaun tersebut tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan dan kesahihan ciapan mereka yang telah dipadamkan di laman Twitter masing-masing.
Kini, pihaknya tidak dapat memberikan apa-apa komen mengenai khabar angin tersebut disebabkan pihaknya masih belum mendapat apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak MAS.
“Buat masa sekarang saya tak boleh beri apa-apa komen mengenai isu pemberhentian kerja ini sebab kita masih belum dapat apa-apa kenyataan rasmi dari pihak MAS sendiri.
“Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak MAS dan saya harap dapat jumpa dengan semua pihak agar kita boleh selesaikan isu ni sewajarnya.
“Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan saya ucapkan terima kasih kepada semua yang bagi teguran membina,” katanya mengakhiri bebenang ciapan tersebut.

Kredit: Twitter