Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Merajuk Tak Dapat Ganja, Sanggup ‘Bertapa’ Atas Bumbung 2 Hari

Nur Syahirah Zainoor Hisham
lelaki merajuk tak dapat ganja
Gambar: The Thaiger

Gara-gara tidak dapat ganja seperti yang diminta, seorang lelaki tekad memanjat bumbung rumah sebagai tanda merajuk dan protes kepada keluarganya dalam satu kejadian di Thailand baru-baru ini.

Menurut isterinya, lelaki itu merupakan seorang penagih dadah. Justeru bagi menghilangkan rasa ketagih, wanita tersebut membawa suaminya dari rumah mereka di Bangkok ke kampung ayah mertuanya di daerah Kantharalaksaid, wilayah Srisaket.

Difahamkan, di sana lelaki itu meminta ganja daripada ayahnya, namun dimaklumkan bahan itu tiada. Mendengar jawapan itu, dia berasa marah lalu terus bertindak memanjat bumbung rumah sekitar pukul 8.30 malam hari kejadian.

Keesokan harinya, beberapa orang jiran dan rakan-rakan cuba memujuknya untuk turun, tetapi dia langsung tidak berganjak seinci pun dari tempatnya, walaupun terpaksa basah disiram hujan lebat.

Difahamkan, sungguh pun tindakannya kelihatan agak radikal, namun dia tidak bertindak ganas kepada sesiapa (seperti kebanyakan penagih lain), sebaliknya hanya mahu bersendirian di atas bumbung.

Gambar via The Thaiger

Sementara itu, pegawai polis daerah Kantharalak, Sukit Luangsakulthai berkata, pihaknya menerima maklumat tentang perkara itu dan mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian pada pukul 3 petang lusanya.

Namun begitu, kehadiran pihak polis di sana masih gagal memujuk dirinya untuk turun ke atas tanah. Dia dilihat masih terus merajuk walaupun masa sudah berlalu hampir 48 jam lamanya.

Bagaimanapun, tindakan merajuk lelaki berusia 42 tahun itu tidak kekal lama apabila dia terpaksa ‘menyerah diri’ akibat tidak tahan panas dan lapar setelah hampir dua hari ‘bertapa’ di atas bumbung tersebut.

Akhirnya, dia turun dari bumbung secara sukarela pada pukul 6 petang hari yang sama. Dia yang berada dalam keadaan sangat lemah ketika itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Kantharalak untuk pemeriksaan lanjut.

Perasaan ayahnya bila tengok kejadian itu

Sementara itu, si ayah, Sathien Panyakom yang berusia 65 tahun berkata, anak lelakinya itu pada asalnya bekerja sebagai seorang peniaga di Bangkok. Namun disebabkan terjebak dengan ganja yang melampau, menantunya terpaksa bawa pulang anak lelakinya itu ke Srisaket.

Tambah Sathien, anaknya memang ada meminta ganja daripadanya, namun dia berkata dirinya sendiri tidak pernah mengambil bahan tersebut, apatah lagi menyimpan atau memilikinya di rumah.

“Saya ingin memberi amaran kepada orang ramai bahawa ganja dan methamphetamine memberikan kesan buruk kepada kita. Jangan pernah sesekali mencubanya kerana ia senang untuk ketagih.

“Penagih dadah selalu mengalami halusinasi dan seterusnya melakukan jenayah tanpa disedarinya seperti membunuh ibu bapanya, mencederakan anak-anak dan pasangannya atau membakar rumah mereka.

“Saya melihat kesan dadah menerusi akhbar-akhbar tetapi tidak pernah menyangka bahawa ia mampu memporak-perandakan kehidupan saya sampai macam ni sekali,” katanya, memetik laporan The Thaiger.

Sumber: The Thaiger