Seorang pemandu lori maut dilanggar penunggang motosikal dari arah belakang semasa memeriksa tayar bocor di Kilometer 21.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS-Arah Selatan) di Kulai, Johor semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow dalam satu kenyataan, pihaknya menerima laporan daripada anggota trafik lebuh raya Utara-Selatan berhubung kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Mitsubishi dan sebuah motosikal jenis Honda C100 sekitar jam 1.10 tengahari.
“Hasil siasatan awal dapati kemalangan tersebut disyaki berlaku apabila lori mangsa mengalami kerosakan iaitu tayar bocor.
“Mangsa kemudiannya memberhentikan lori di lorong kecemasan untuk turun melihat keadaan lori lalu dilanggar oleh penunggang motosikal dari arah yang sama dari belakang,” katanya.
Susulan kejadian tersebut, mangsa yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, tambah Beng Yeow.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.
Manakala penunggang motosikal berkenaan yang mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.
“Kenderaan terlibat akan dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan tersebut.
BACA JUGA: Pemandu Lori Maut Kemalangan Di Nilai
Sumber: Polis Daerah Kulai