Siakap Keli
kucing mandi peluntur

“Sangat Tak Masuk Akal”, Doktor Vet Ulas Tips Viral Mandikan Kucing Dengan Peluntur

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sikap semberono dimiliki sesetengah individu yang menggunakan peluntur untuk memandikan kucing mereka membuatkan seorang doktor veterinar terkejut dan kecewa melihat ‘nasib’ haiwan yang tidak bersalah itu.

Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali atau dikenali sebagai dr.ima_vet di platform Twitter menegaskan, tips mandikan kucing menggunakan peluntur seperti yang tular di media sosial itu adalah satu perkara yang  sangat ‘tidak masuk akal’ dan tidak logik.

“Peluntur biasanya kita gunakan untuk bersihkan meja, bersihkan sangkar, bersihkan benda atau alatan yang bukan hidup, untuk bersihkan dari kontaminasi, virus dan sebagainya.

“Tapi bukan direct pada you punya haiwan, bukan direct pada kucing, it is very dangerous,” katanya dalam nada yang kesal menerusi satu video maklum balas berdurasi 59 saat yang dimuat naik di Twitter.

Sebaliknya ujar beliau, bahan peluntur hanya boleh digunakan untuk membersihkan atau menghilangkan virus yang tidak boleh dilihat dengan mata yang kasar.

Difahamkan, walaupun peluntur dikategorikan sebagai agen pembersihan, namun bahan itu selayaknya digunakan untuk membasmi kotoran degil seperti pada baju dan bukannya haiwan.

Jelasnya, sekiranya seseorang ataupun haiwan tertelan peluntur, mereka boleh terkena keracunan makanan dan jika terhidu, mata akan menjadi pedih.

“Kalau terhidu boleh menyebabkan masalah pernafasan, even air also tak boleh tahan dengan bau peluntur tersebut,” katanya lagi dalam video itu.

Jelasnya dalam nada yang tegas, peluntur yang terkena pada kulit juga membolehkan seseorang itu mengalami risiko kulit terhakis dan rosak.

Difahamkan, situasinya juga sama sekiranya ia digunakan pada badan haiwan yang berbulu seperti kucing, bulunya akan turut rosak.

Menurut Dr. Salehatul Khuzaimah lagi, penggunaan peluntur pada haiwan amat bahaya kerana ia mempunyai bahan yang tidak bersesuaian digunakan terhadap benda  bernyawa.

Apatah lagi haiwan pula tidak mampu ‘bercakap’ untuk mengadu bahawa mereka sakit atau tidak selesa sejurus dikenakan bahan peluntur tersebut pada badannya.

Sementara itu, beliau membuat perumpamaan dalam nada ‘reverse psychology‘, sekiranya mereka (pemilik) berani untuk menggunakan peluntur pada diri sendiri maka tidak hairanlah jika bahan tersebut digunakan pada haiwan.

Unless saya tak tahulah kalau you sendiri berani pakai peluntur dekat you punya rambut ataupun badan so tidak mustahil kalau you berani buat dekat kucing atau anjing you,” katanya mengakhiri video itu.

Sumber: Dr Ima

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana