Siakap Keli

Teruk Kena Cakar Kalau Nak Bagi Mandi, Kenapa Kucing Takut Sangat Dengan Air?

Tidak dinafikan kebanyakan pemilik kucing berdepan dengan ‘mimpi ngeri’ setiap kali ingin mandikan haiwan kesayangan tersebu. Ada orang, setiap kali nak bagi mandi mesti kena ‘bersilat’ dulu dengan si bulus.

Namun, mereka ini tidak seperti spesiesnya yang lain seperti harimau dan singa yang lebih suka berenang atau mandi. Kucing peliharaan biasanya akan menggelupur bila terkena air.

“Para penyelidik berpendapat bahawa kucing yang tidak suka mandi atau takut air ini kerana suhu badan mereka berubah menjadi terlalu sejuk. Atau bulu mereka tidak begitu ‘kalis air’ hingga menyebabkan bulu mereka menjadi berat apabila disimbah air. “

Jadi, apa yang menyebabkan haiwan berbulu comel ini takut pada air? Adakah mereka fobia terhadap air atau benci apabila dimandikan? Secara semulajadi, badan mereka tidak dapat disesuaikan untuk berada dalam air.

Ini antara faktor kenapa kucing takut air.

1. Suhu badan yang tinggi

Satu kajian menunjukkan bahawa suhu badan normal untuk seekor kucing adalah sekitar 36.7 celcius hingga 38.9 celcius di mana ia lebih tinggi daripada suhu badan normal manusia.

Kucing juga sebenarnya mempunyai toleransi haba yang agak tinggi. Oleh sebab itu, haiwan ini sukakan haba dan kehangatan.

Walaupun mereka telah dijinakkan namun mempunyai naluri pemangsa yang semulajadi. Mereka juga mempunyai metabolisme yang aktif dan suka memburu. Semua aktiviti ini memerlukan tenaga yang diperolehi dengan menjimatkan tenaga badan atau bergantung kepada sumber haba luaran.

Sebab itulah kucing suka berjemur atau berada dalam posisi ‘bola’ bagi mengoptimumkan haba badan mereka.

Jika mereka terkena air atau dimandikan, suhu badan mereka akan turun, dan menjadikan mereka kurang aktif dan tidak bertenaga. Sebab itu kucing suka dalam keadaan kering. 

2. Bulu

Perasan tak di mana anjing suka bermain air dan mereka akan mengoyang-goyangkan badan mereka untuk keringkan bulu? Tetapi bagi seekor kucing, mereka tidak berbuat begitu kerana bulu anjing dan kucing sangat berbeza.

Bulu anjing dianggap seperti baju hujan yang mudah untuk dikeringkan manakala bulu kucing pula seperti kain kapas yang mudah untuk menyerap air.

Bulu kucing mempunyai dua hingga tiga lapisan bulu bergantung pada baka.

  • Lapisan paling bawah

Lapisan ini dipenuhi dengan bulu pendek yang memberikan kehangatan dan berfungsi sebagai penebat.

  • Lapisan kedua

Lapisan ini agak panjang dan berfungsi untuk melindungi lapisan bawah. Bulu kucing yang tidak kalis air akan basah apabila terkena air dan menyebabkan suhu badan haiwan tersebut akan menurun.

  • Lapisan atas

Lapisan ini adalah lapisan bulu yang paling panjang. Apabila lapisan ini basah, ia menyukarkan seekor kucing ini bergerak kerana bulu menjadi berat apabila terkena air.

3. Kebolehan menghidu

Kucing sangat ‘win’ kalau bab menghidu ini, kerana mereka dapat menghidu jauh lebih baik berbanding manusia. Untuk pengetahuan anda, manusia hanya ada lima juta sensor pada hidung tetapi untuk seekor kucing pula dikatakan ada lebih dari 200 juta sensor.

Mereka menggunakan deria bau untuk berkomunikasi, memburu dan mengesan mangsa. Bukan itu sahaja, mereka menggunakan bau air kencing sebagai penanda aras untuk kawasan tersebut.

Selain itu, satu kajian mendapati bahawa, bau juga membuatkan kucing berada dalam keadaan tertekan atau selamat dalam persekitaran tertentu.

Jadi apa sebenarnya kaitan kebolehan menghidu dengan air?

Sebenarnya, kucing dapat meghidu kandungan kimia atau bendasing di dalam air. Ini merupakan salah satu sebab mengapa mereka tidak mahu bau asing ini melekat pada badan mereka.

Sebab itulah kalau korang perasan kucing korang selepas mandi dia akan pergi bergolek-golek di atas rumput atau tanah.

4. Cara kucing membersihkan diri

Pencinta kucing mestilah tahu bahawa kucing akan menggunakan lidahnya untuk membersihkan bulu-bulunya kan? Lidah kucing ini seperti sikat kerana mempunyai struktur yang berduri yang dikenali sebagai papillae. Ia bukan hanya membantu si comel menyikat bulu malah untuk membuang kotoran.

Walaupun kebanyakan kucing ‘takut’ untuk mandi tetapi ada sesetengah baka yang gemar mandi seperti baka Turkish Van, Abyssinian dan beberapa lagi baka hibrid yang diajar mandi dan berenang.

Jadi kalau kucing korang ‘takut’ mandi cuba ingatkan mereka yang mana nenek moyang mereka berasal dari padang pasir sebab itulah mereka tidak terbiasa dengan air.

Sumber: Scienceabc

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang