‘Diterbangkan’ Sejauh 320km, Lelaki Ditemui Selamat Lepas Dua Hari Terperangkap Dalam Belon Hidrogen
Seorang lelaki yang dilaporkan terperangkap dalam sebuah belon hidrogen yang mengakibatkan dirinya diterbangkan sejauh 320 kilometer selama dua hari ditemui selamat, lapor Times Now News.
Lelaki itu bersama seorang lagi rakannya difahamkan sedang mencari kacang pain di sebuah taman hutan di wilayah Heilongjiang, timur laut China.
Untuk memetik kacang, mereka menggunakan belon hidrogen untuk bergerak dari sebuah pokok ke pokok sebelum pengangkutan udara itu hilang kawalan.
Sewaktu kejadian itu, rakannya sempat melompat keluar dari belon berkenaan namun mangsa tidak sempat berbuat demikian. Perkara itu membuatkan dia melayang bersama belon berkenaan ke ruang udara.
Sehubungan itu, operasi pencarian dan menyelamat lelaki terbabit telah dilancarkan. Hasil usaha yang dilakukan, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukannya melalui telefon bimbit yang digunakannya pada keesokan hari, lapor Global Times.

Bagaimanapun, lelaki itu terpaksa mengambil tempoh sehari kemudian untuk berjaya menjejakkan kaki ke tanah semula sebelum belon itu tersangkut pada sebuah pokok sewaktu mengempiskannya secara perlahan.
Dia yang diterbangkan oleh belon tersebut ditemukan di wilayah Fangzheng di China, berhampiran dengan sempadan Rusia.
“Saya hampir berputus asa. Terima kasih kepada pasukan penyelamat. Jika tidak saya mungkin akan mati,” katanya.
Tambahnya, dirinya berada dalam keadaan lapar dan kesejukan sepanjang tempoh dua hari.
Lelaki warganegara China itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat, tetapi turut mengalami sakit pinggang dipercayai kerana berdiri sepanjang dua hari akibat terperangkap dalam belon udara.
Untuk pengetahuan, kacang pain merupakan bahan yang seringkali dihidangkan dalam menu di Timur Laut China. Penggunaan belon hidrogen atau helium menjadi perkara biasa bagi memetik kacang tersebut di China.
Sumber: Times Now News