Hilang Sebelah Tangan Seminggu Sebelum Kahwin, Lelaki Tak Putus Asa, Tebar Roti Canai Untuk Sara Hidup
Hidup ini sentiasa dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi oleh setiap manusia. Pun begitu, ia perlu dihadapi dengan penuh kesabaran dan diiringi dengan doa yang tulus ikhlas agar segalanya dipermudahkan.
Sebagai hambaNYA, yakinlah bahawa ada hikmah di sebalik setiap ketentuan dan perancangan Allah SWT.
Bercakap mengenainya, seorang pengguna TikTok baru-baru ini tular selepas berkongsikan mengenai ujian yang perlu dihadapi olehnya selepas terlibat dalam kemalangan.
Khairil Badri Zainurin atau @MadUjang kini meneruskan hidup dengan mencari rezeki sebagai peniaga roti canai.
Menebar roti canai bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kepakaran menggunakan kedua-dua tangan. Namun apa yang membuatkan Khairil istimewa berbanding peniaga lain ialah dia menebar roti canai dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja apabila tangan kirinya dipotong selepas kemalangan.
Walaupun terbatas dari segi fizikal namun ia tidak menghalang kegigihan Khairil menjalani kehidupan sama seperti orang lain hingga berjaya.
Seperti peniaga lain, Khairil memulakan perniagaannya dengan membersihkan kawasan kedainya terlebih dahulu yang terletak di Medan Selera Pasar Borong Batu Berendam.
@mad_ujang terima ksih sudi singgah ujang asam pedas penyokong selangor.. #like #roticanaiterbang #terimakasih
Kisah Khairil Penebar Roti Canai Bertangan Satu
Pada awalnya Khairil tidak berminat untuk menjalankan sebuah perniagaan. Dia juga sebelum ini telah mempunyai sijil dalam bidang automotif.
Namun minatnya mula berubah apabila melihat tebaran roti canai.
Ketika dihubungi SK, dia menjelaskan bahawa telah mula berniaga roti canai sejak usia 18 tahun.
Siapa menyangka bahawa hidupnya berubah sekelip mata apabila terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya seminggu sebelum majlis perkahwinan yang mengakibatkan tangan kirinya terpaksa dipotong sejak lima tahun lalu.
“Sewaktu dalam perjalanan dari Taman Merdeka menuju ke Pasar Borong Batu Berendam, saya menaiki motosikal bersama isteri (ketika itu tunang) dalam kelajuan sekitar 80-90 kilometer/jam.
“Sebuah kenderaan dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki simpang pada bahagian kiri saya,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, dia terpaksa menjalani hidup dengan satu tangan yang berbaki walaupun sebelum ini terdapat usaha untuk menyelamatkan tangan kirinya dengan memasukkan besi.
Anak Sumber Kekuatan
Selepas terlibat dalam kemalangan, Khairil sering memikirnya cara bagaimana untuk terus mencari rezeki.
Dua cahaya matanya bersama isteri menjadi sumber kekuatan buat dirinya untuk terus berbakti dalam perniagaan roti canai.
@mad_ujang aku lah penebar roti canai terbang single hand.. dan inilah kelebihan tuhan bagi pada aku.. setiap org ada ujiannya..💪💪💪 #fypシ゚viral #fypsupportme #fyplikeshare
“Saya seorang lelaki dan sebagai seorang suami kena tunjukkan bahawa saya juga boleh mencari rezeki untuk menampung keluarga serta tidak bergantung kepada isteri sahaja.
“Bagi saya, selagi kita masih berusaha, Allah SWT pasti akan membantu, tetapi sekiranya tiada usaha untuk mencari rezeki, tiada sesiapa yang akan membantu kita,” maklumnya lagi.
Rezeki Khairil tidak berhenti disitu apabila dia kini menjadi pemilik kepada kedai roti canai yang dusahakannya selepas di amanahkan oleh pemilik kedai tersebut.
Perjalanan hidup Khairil Badri mengajar kita mengenai setiap usaha dan penat lelah pasti tidak membuahkan hasil walaupun tidak mempunyai kelebihan seperti orang lain.
Sumber: TikTok Mad_Ujang