JKM Mohon Bantuan Jejaki Ibu Hilangkan Diri Lepas Lahirkan Bayi Tiga Tahun Lalu
Seorang ibu dilapor menghilangkan diri sejurus melahirkan anak perempuan sekitar tiga tahun lalu di Hospital Sultan Abdul Halim dan sedang dijejaki oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Sungai Petani, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, bayi bernama Nur Ainhazwani Al-Hakim telah ditinggalkan tanpa sebarang dokumen, jelas Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Natrah Ahmad.
Menurut Natrah, sejak 12 Mei 2019, ibu kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Rogayah Hamid, 35, telah menghilangkan diri.
“Alamat terakhir Rogayah ialah di Kampung Haji Ramlee, Sungai Jagung, Sungai Layar, Sungai Petani.
“Rogayah juga dikatakan berasal dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah namun gagal dikesan di kedua-dua lokasi,” maklumnya lagi menerusi Sinar Harian.

Tambahnya, mengikut perintah mahkamah di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak itu telah diserahkan kepada keluarga angkat sewaktu usia tiga bulan sebagai orang yang layak.
Sementara itu, tiada sebarang maklumat berhubung suami kepada wanita tersebut diperolehi setakat ini.
“Dimohon mana-mana individu yang mengenali atau mengetahui sebarang maklumat mengenai wanita ini supaya tampil bagi membantu urusan daftar lewat kelahiran.
“Pencarian ini bertujuan memudahkan proses pendaftaran agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara,” jelasnya melalui Sinar Harian Lagi.
Sebarang info berhubung perkara itu, orang ramai boleh menghubungi Natrah di talian 044204900.
Sumber: Sinar Harian