Siakap Keli
tikam ibu
Gambar Via Bernama

Pelajar Tingkatan Dua Tikam Ibu Dipercayai Diganggu Makhluk Halus & Berhalusinasi

Kota Bharu – Remaja lelaki yang nekad tikam ibu kandungnya dalam kejadian di Pasir Puteh semalam dipercayai mengalami masalah halusinasi.

Memetik laporan Sinar Harian, ia bagaimanapun perlu dibuktikan menerusi rawatan hospital terlebih dahulu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun hari ini.

Menurut portal Kosmo!, beliau juga turut memaklumkan bahawa siasatan awal yang dijalankan mendapati pelajar tingkatan dua itu dipercayai berkemungkinan diganggu makhluk halus.

“Kami telah menahan reman remaja berusia 14 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Berpandukan kepada kenyataan, suspek dikatakan berada dalam satu suasana pemikiran tidak normal iaitu halusinasi tapi itu perlu dibuktikan,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya lagi, suspek akan dihantar ke hospital untuk rujuk pakar psikologi.

Siasatan juga dilakukan untuk melihat karakter suspek di luar dan semasa di sekolah.

“Ujian saringan air kencing juga turut dilakukan dan keputusannya adalah negatif,” katanya.

Terdahulu, remaja terbabit dilaporkan telah menikam ibunya yang berusia 41 tahun dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.45 malam di rumahnya di Bukit Yong, Pasir Puteh.

Kesan tikaman tersebut telah menyebabkan paru-paru bahagian kiri mangsa dilaporkan bocor dan kehilangan banyak darah.

Mangsa kini dirawat di zon merah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Difahamkan, mangsa dan suspek tidur di dalam bilik yang sama ketika kejadian kerana suspek memerlukan pemantauan daripada mangsa yang dipercayai mengalami demam.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian ,Kosmo!

Sofea

There's always another side to every story