Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Pelajar Tingkatan Dua Tergamak Tikam Ibu Sendiri Ketika Mangsa Sedang Tidur

Pasir Puteh – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua dilaporkan telah menikam ibunya dengan pisau dalam kejadian di Bukit Yong, Kelantan di sini malam tadi.

Memetik laporan Astro Awani, mangsa telah ditikam ketika sedang tidur di dalam sebuah bilik bersama suspek kira-kira jam 11.45 malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata mangsa telah ditikam di bahagian dada.

“Mangsa (ibu) berusia 41 tahun bersama suspek (anak ketiga) sedang tidur dalam bilik yang sama apabila tiba-tiba mangsa terasa sakit pada bahagian dada.

“Apabila tersedar, mangsa melihat pisau tertusuk di bahagian dadanya. Mangsa telah cuba memanggil suaminya yang tidur di bahagian hadapan ruang tamu rumah semasa kejadian,” katanya.

Hasil siasatan awal juga mendapati bahawa mangsa telah ditikam oleh suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur.

Difahamkan, suspek memerlukan pemantauan daripada mangsa kerana mengalami demam sejak dua hari yang lalu.

“Suspek telah berjaya ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya.

Di hospital tersebut, doktor mengesahkan bahawa kesan tikaman tersebut telah membocorkan organ paru-paru bahagian kiri.

Mangsa perlu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut kerana kehilangan darah yang banyak.

Sumber: Astro Awani

Baca: Duka Isteri Menghadap Ilahi, Pakcik Ni Kerap Masuk Kebun Untuk ‘Luah Perasaan’

Sofea

There's always another side to every story