Terdapat sebuah desa unik yang diberi nama Khunzakh, berdekatan wilayah Dagestan, Rusia. Keunikan desa ini adalah kedudukannya yang betul-betul terletak pada hujung tebing yang curam, menjadikannya sebagai sebuah penempatan manusia antara yang paling indah di dunia.
Sebelum ini, nama wilayah Dagestan tidak dikenali oleh ramai orang. Akan tetapi, perkara ini tidak sama selepas Khabib Nurmagomedov menggegarkan dunia seni bela diri campuran (Mixed Martial Arts – MMA) dan menjadi juara Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi peringkat lightweight.
Pada hari ini, wilayah ini sering dikaitkan dengan jaguh sukan tersebut. Namun begitu, ramai yang masih tidak mengetahui bahawa kawasan autonomi dalam republik tersebut merupakan ‘rumah’ bagi pelbagai keajaiban dunia yang masih belum diterokai.
Hari ini, kami akan menampilkan cerita tentang Khunzakh, sebuah desa yang terletak pada lokasi yang unik, iaitu berdekatan pinggir curam dengan kedalaman 100 meter.

Lokasi desa ini terletak 140 kilometer (km) dari Makhachkala, ibu negeri kepada Dagestan dengan ketinggian altitud 2,000 meter melebihi paras laut. Ketinggian ini menyebabkan desa Khunzakh memiliki visual yang sangat menawan.
Sehubungan itu, pemandangan desa ini dikatakan setanding dengan bandar Ronda di Sepanyol dan Bozouls, Perancis. Akan tetapi, desa ini kurang mendapat perhatian dan hanya dikenali oleh segelintir kecil manusia yang berada di luar Rusia.

Kecantikan desa Khunzakh yang sangat menakjubkan ini berjaya ditangkap menerusi sebuah dron milik Slava Stepanov, seorang jurugambar yang berbakat besar di Rusia. Beliau berjaya menangkap beberapa foto di lokasi tersebut dan ia menjadi tular di media sosial di Rusia.

Menariknya, keunikan desa ini bukan hanya terletak pada lokasinya yang berada betul-betul di tebing Tsolotlinsky Canyon, malah Khunzakh juga turut menjadi tapak bersejarah untuk beratus-ratus tahun.
Difahamkan, desa ini pernah menjadi ibu kota bagi sebuah empayar purba di Caucasus. Kemudian, ia menjadi ibu kota kepada Avar Khanate untuk beberapa ratus tahun sebelum diserang oleh angkatan tentera Mongol. Pada awal abad ke-19, Khunzakh bergabung dengan Empayar Rusia dan kesannya sehingga sekarang – ia kekal menjadi wilayah dalam negara bekas Soviet itu.
Perkara-Perkara Yang Boleh Dilakukan Di Sana
Bagi sesiapa yang betul-betul berani untuk ke Khunzakh, terdapat pelbagai perkara yang menarik untuk dilihat dan dicuba. Air Terjun Tobot yang berketinggian 70 meter merupakan tarikan utama desa tersebut.
Terdapat juga beberapa platform tinjauan untuk menyaksikan keindahan Tsolotlinsky Canyon. Pengunjung juga boleh melihat seni bina monumen bersejarah Khunzakh dari masa lampau.

Selain itu, terdapat juga pilihan aktiviti untuk sesiapa yang gemarkan aktiviti lasak dan mengerikan. Ada platform bungee jump, yang mana anda melompat daripada tebing curam ini ditemani dengan deruan angin sewaktu turun daripada Tsolotlinsky Canyon.
Akhir sekali, kejayaan Khabib Nurmagomedov bukan sahaja membuka lembaran pertama sebagai peninju orang Islam pertama yang memenangi UFC. Aura hebat dirinya juga berjaya menaikkan nama wilayah yang pernah menyaksikan detik-detik getir beliau sebelum merangkul gelaran juara. Pemandangan yang cantik dan udara bersih di kawasan ini juga mungkin menjadi rahsia kemenangan beliau di gelanggang pertarungan.
Kredit: Oddity Central