Pemilik Rumah Terkejut, Jumpa Ular ‘King Cobra’ Besar Tengah ‘Tidur’ Dalam Almari
THAILAND – Seorang penduduk di selatan Thailand gempar apabila menemui seekor ular tedung selar sepanjang 2.1 meter dalam almari pakaian di rumahnya.
Menurut laporan, keberadaan ular tersebut disedari oleh pemilik rumah tersebut pada pagi semalam.
Sebaik menemuinya, dia terus mengunci almari tersebut dan menghubungi pasukan penyelamat bagi mengeluarkan ular itu.
Dilaporkan, pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 9 pagi dan membuka almari tersebut secara berhati-hati untuk mengeluarkan haiwan itu.
Selepas berjaya dikeluarkan, ular tedung selar berbisa tersebut dimasukkan ke dalam tong dan ditutup rapat.
Difahamkan, mereka akan melepaskannya semula ke lokasi di luar bandar yang jauh dari manusia.
Menurut pasukan penyelamat, ular tedung selar itu adalah spesies yang dilindungi di negara Thailand.
Mereka juga turut mengingatkan bahawa sesiapa yang membunuh atau menyimpan ular itu sebagai haiwan peliharaan, mereka akan dihukum tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak lebih daripada 1 juta baht (RM12,409.93) atau kedua-duanya.
Ia kerana, ular tedung selar adalah penting dan antara spesis dilindungi di Thailand.
Selain itu, ular juga lebih aktif pada musim hujan. Kemungkinan untuk ular memasuki rumah adalah tinggi kerana mereka mungkin mengekori mangsa yang berada di dalam rumah seperti tikus.
Dilaporkan, ular tedung selar mempunyai gigitan paling kuat berbanding ular-ular berbisa yang lain. Ular itu boleh membunuh manusia dalam masa 15 minit kerana kesan gigitan ular itu mampu mengakibatkan jantung dan paru-paru mangsa lumpuh jantung dan seterusnya mati.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah racun yang masuk ke dalam badan mangsa.
Namun, gigitan ular tedung selar boleh dirawat dengan anti-racun yang perlu diberikan dengan kadar segera.
Walaupun begitu, persembahan ular menggunakan ular tedung selar masih lagi diadakan di seluruh Thailand dan terdapat kes yang menyebabkan kematian.
Difahamkan, persembahan ular tedung selar boleh ditonton di King Cobra Village di Khon Kaen, timur laut Thailand.
Sumber : TheThaiger
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang