Pelajar Dilapor Meninggal Dunia Lepas Jalani Ujian Silat
INDONESIA – Seorang pelajar dilapor meninggal dunia selepas menjalani Ujian Kenaikan Tingkat di sebuah kelab silat di Sidoarjo pada Ahad.
Ayah mangsa, Dedik Hainul Akbar, 43 tahun, terkejut selepas pihak hospital mengesahkan bahawa anaknya meninggal dunia kerana mengalami darah tersumbat di saluran pernafasan.
“Sebelum dibawa ke Hospital Sidoarjo, anak saya sedang menjalani ujian kenaikan tingkat di kelab silat,” menurut ayah mangsa.
Beberapa jam selepas itu, pihak pelatih silat menghubunginya menyatakan bahawa anaknya pengsan semasa ujian dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selain itu, dua jurulatih silat menyatakan bahawa mangsa mempunyai sejarah asma dan sesak nafas.
“Bila saya tanya kenapa anak saya pengsan, mereka kata penat berlari,” kata Dedik.
Selepas melihat keadaan anaknya yang koma dan dimasukkan ke ICU, dia mendapati bahawa bahagian hidung mangsa mengalami pendarahan.
Selepas itu, Dedik bertanyakan kembali kepada dua pelatih silat tersebut adakah terdapat sebarang sentuhan fizikal semasa ujian tersebut dijalankan.
Namun, menurut mereka tiada sebarang sentuhan fizikal yang berlaku semasa ujian tersebut.
“Keadaan anak saya semakin teruk pada sebelah petang dan dimaklumkan bahawa terdapat darah yang tersumbat dalam saluran pernafasannya. Doktor terpaksa mengepam keluar darah tersebut,” katanya.
Kemudian, Dedik mendapat maklumat bahawa terdapat sentuhan fizikal ketika ujian dijalankan. Maklumat itu diterimanya semasa ramai rakan sekolah mangsa yang melawatnya di hospital.
“Selepas larian, terdapat tumbukan dan tendangan ke badan peserta ujian tersebut.”
Selepas mendapat maklumat tersebut, pihak hospital mengesahkan bahawa anaknya telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Sidoarjo, Iptu Tri Novi Handono menyatakan dia perlukan masa untuk menyiasat mengenai laporan itu.
“Tolong beri masa,” jawabnya apabila ditanya mengenai kejadian tersebut.
Sumber : Liputan6
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang