Sel Bateri Rosak Punca 8 Maut Dalam Kebakaran Di Pameran Skuter Elektrik
Kebakaran yang bermula di bilik pameran skuter elektrik di India telah mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang manakala 11 orang lagi cedera, kata polis pada Selasa, 13 September.
Kejadian kebakaran e-skuter pada tahun ini telah membimbangkan kerajaan India yang sedang mempromosikan penggunaan kenderaan dua roda itu dalam usaha memerangi pencemaran udara.
Menurut CNA, siasatan awal yang dijalankan mendapati bahawa sel bateri yang rosak dan modul bateri antara punca utama.
Kebakaran yang berlaku lewat Isnin lalu di sebuah bilik bawah tanah hotel yang menempatkan bilik pameran dengan kira-kira dua dozen e-skuter di bandar selatan Secunderabad, kata polis. Kebakaran telah dikawal dan siasatan juga telah dijalankan.
“Terdapat e-skuter diletakkan di tempat kebakaran bermula dan kami tidak tahu sama ada ia bermula kerana pengecasan berlebihan dan kemudian merebak atau ia bermula di tempat lain,” kata pegawai polis bandar Chandana Deepti.
Polis dan bomba menggunakan kren dan peralatan lain untuk membawa keluar tetamu hotel yang terkandas di tingkat atas bangunan empat tingkat itu. Kepulan asap juga turut kelihatan keluar dari tingkap hotel tersebut.
“Mereka yang tinggal di tingkat satu dan dua telah dikepungi asap dan mangsa yang cedera dan terkorban berada di tingkat itu,” kata CV Anand, ketua polis bandar Hyderabah.
Perdana Menteri Narendra Modi berkata beliau sedih dengan berita kematian itu dan menjanjikan pampasan bagi mangsa yang terkorban dalam kebakaran itu.
Terdahulu, pada Mac, India melancarkan siasatan berhubung kebimbangan keselamatan selepas rentetan kebakaran e-skuter, termasuk satu kebakaran di mana seorang lelaki dan anak perempuannya yang maut sewaktu menaiki e-basikal yang terbakar.
India mahu e-skuter dan e-basikal membentuk 80 peratus daripada jumlah jualan dua roda menjelang 2030.
Sumber: CNA
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang
Baca: Mungkin Ramai Belum Sedar, Ini Antara 7 Pantang Larang Ketika Gunakan ‘Air Fryer’