Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa dunia merebut peluang untuk menamatkan Covid-19 ekoran jumlah kes dilaporkan menurun secara mendadak, lapor CNA.
Setelah bertahun kes kematian dilaporkan meningkat sejak tahun 2019, namun minggu lalu kes Covid-19 di dunia mencatatkan kejatuhan ke paras paling rendah sejak bulan Mac 2020.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, wabak yang dikenal pasti pada 2019 itu kini akhirnya telah menampakkan sinar di hujung terowong ekoran kejatuhan yang mendadak.
“Kita tidak pernah berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menamatkan wabak itu.
“Kita belum sampai ke sana tetapi penghujungnya sudah di depan mata,” katanya kepada pemberita memetik CNA.
Ujarnya, dunia perlu merebutkan peluang ini agar wabak itu segera berakhir dan tiada varian atau kematian dilaporkan.
“Jika kita tidak mengambil peluang ini sekarang, kita akan menghadapi risiko dengan penambahan varian baharu, kematian, gangguan dan lebih banyak ketidakpastian,” katanya lagi.
Menurut laporan epidemiologi terkini WHO mengenai Covid-19, jumlah kes yang dilaporkan turun 28 peratus, iaitu hanya 3.1 juta pada minggu terakhir 11 September.
Walaupun menganggap ada sinar di hujung terowong, WHO dalam masa sama memberi amaran bahawa penurunan kes agak mengelirukan kerana mendakwa banyak negara sudah kurangkan ujian.
Ketua Teknikal WHO Covid-19 Maria Van Kerkhove memaklumkan, jumlah kes diberikan kepada WHO tidak tepat dan percaya ada banyak kes yang tidak dilaporkan.
“Jumlah kes yang dilaporkan kepada WHO adalah tidak tepat.
“Kami merasakan bahawa kes sebenarnya jauh lagi banyak daripada yang dilaporkan kepada kami,” ujarnya memetik CNA.
Tambahnya, kemungkinan akan terdapat gelombang jangkitan pada masa hadapan yang berpotensi berlaku pada masa berlainan di seluruh dunia, disebabkan oleh sub-varian omicron yang berbeza.
Dalam pada masa yang sama, WHO turut menerbitkan enam taklimat dasar, antaranya menggesa dunia untuk melabur memberi vaksin kepada 100 peratus kumpulan paling berisiko termasuk pekerja kesihatan.
Tedros berkata taklimat itu adalah untuk membantu usaha kerajaan mengekang virus serta meneliti dasar untuk mengukuhkan Covid-19.
“Kita boleh tamatkan pandemik ini bersama-sama jika semua negara, kilang, komuniti dan individu bertindak dan merebut peluang ini,” ujarnya ketika memaklumkan mengenai keadaan Covid-19 terkini.
Sumber: CNA