Siakap Keli
dua maut lima cedera parah
Gambar: AWANI

Dua Maut & Lima Cedera Lepas Motor Bertembung Sesama Sendiri

Dalam satu nahas awal pagi tadi, dua lelaki maut manakala lima lagi cedera parah ekoran motosikal yang dinaiki mereka bertembung sesama sendiri dalam satu kejadian yang berlaku di Kilometer 102.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Sungai Petani, lapor Astro AWANI.

Akibat tercampak di atas jalan raya, kesemua kumpulan remaja terbabit cedera parah dalam nahas yang berlaku pada pukul 2.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata mereka sedang bergerak bersama dari arah utara menghala ke selatan lebuh raya itu sambil berlumba.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ketujuh-tujuh buah motosikal yang ditunggang secara beriringan pada kelajuan yang tinggi menyebabkan hilang kawalan lalu berlanggar sesama sendiri.

“Akibat kemalangan, mangsa berusia 15 dan seorang lagi berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima yang lain mengalami kecederaan parah,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian, dua mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAB) Sungai Petani untuk proses bedah siasat, tambah Zaidy menerusi AWANI.

Sementara itu, lima yang lain turut dikejarkan ke hospital yang sama dan mereka berumur lingkungan 17 hingga 21 tahun.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: AWANI

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.