Gunung Berapi Lumpur Fenomena Biasa, Tiada Kaitan Gempa Di Taiwan – Pakar Geologi
Pakar Geologi Sabah, Profesor Dr Fekix Tongkul menjelaskan bahawa gunung berapi lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu semalam adalah perkara biasa, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, beliau menolak dakwaan bahawa letusan gunung berapi yang berlaku itu didorong oleh gempa di Taiwan sebaliknya menyatakan ia berkemungkinan berlaku ekoran gegaran gempa bumi di kawasan berhampiran.
“Fenomena ini adalah biasa. Ia berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.
“Gempa bumi di Taiwan agak jauh, biasanya gegaran gempa bumi berdekatan yang cenderung mencetuskan fenomena ini,” jelasnya sewaktu dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, tular sebuah klip video memaparkan sebuah ‘muntahan’ lumpur yang berlaku di Taman Hidupan Liar Tabin selepas dirakam oleh salah seorang pengunjung, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan dua video yang berdurasi 11 saat dan 46 saat yang dimuat naik di laman media sosial itu, ia telah menjadi tular dan menarik perhatian ramai warganet berhubung fenomena alam itu.
Sementara itu, Pengurus Besar Tabin Wildlife Holidays, Lawrence Chin berkata kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku, lapor Bernama.
Menurutnya, ia pernah terjadi pada tahun 2014 dan 2019 tetapi tidak dirakam dan tular seperti semalam.
“Letusan ini bukan pertama kali, ia pernah berlaku pada 2014 dan 2019, cuma kali ini ia sempat dirakam berbanding sebelum ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
BACA JUGA: Gempar, Gunung Berapi Lumpur Dilapor Meletus Di Lahad Datu