Misteri Trak Kuning Diarah Tutup, Beroperasi Kali Terakhir Pada 16 Sept- Polis
Rembau – Pihak polis mengarahkan penganjur “Misteri Trak Kuning” untuk segera menutup perkhidmatan menyeramkan yang beroperasi sekitar sebulan lalu selepas menerima aduan gangguan bising daripada penduduk.
Memetik laporan Kosmo, bunyi bising melampau antara jam 9 malam hingga 1 pagi membuatkan orang awam membuat aduan mengenai perniagaan di Kampung Pulau Bongek tersebut.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata penduduk setempat merasa terganggu dengan waktu tidur mereka susulan bunyi jeritan daripada pelanggan perniagaan itu.
“Tempat perniagaan telah dilawati dan telah dinasihati untuk mengehadkan kemasukan pelanggan, mengurangkan bunyi atau suara daripada pembesar suara dan mengehadkan waktu perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.
“Pada lawatan berkenaan, pemilik iaitu perempuan berusia 26 tahun juga telah bersetuju mematuhi nasihat yang diberikan. Hasil pemeriksaan juga mendapati perniagaan masih belum memperolehi apa-apa lesen atau permit hiburan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” jelas Hazri dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, penganjur Misteri Trak Kuning itu akur untuk beroperasi buat kali terakhir pada 16 September lalu atas arahan pihak polis.
“Idea ini timbul hasil cadangan adik-beradik saya serta ia dijalankan atas tanah adat milik keluarga.
“Kami juga telah hadkan bilangan kenderaan yang masuk ke kawasan kampung kira-kira tujuh buah kenderaan dalam satu masa,” kata penganjur itu kepada Kosmo.
Imbas kembali, setiap minggu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, sekumpulan remaja menawarkan pengalaman seram kepada para peminat mengikut tema.
Sebelum itu, pemilik perniagaan berkenaan akan menetapkan kawasan yang dikenal pasti bagi merasai pengalaman ‘hantu’ terlebih dahulu sebelum pengunjung dibawa menggunakan sebuah trak pikap berwarna kuning, lapor Kosmo.
Sumber: Kosmo!