Siakap Keli
disuap suami oku guna kaki
Petikan video TikTok

Tersipu-sipu Malu Disuap Suami OKU Guna Kaki, Kesetiaan Isteri Ini Dipuji Netizen

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Hidup berpasangan sebagai suami isteri dan melayari bahtera kehidupan rumah tangga bersama-sama sehingga ke akhir hayat adalah impian semua manusia di dunia ini.

Dalam membina hubungan yang kukuh, antara perkara yang menjadi ‘tulang belakangnya’ ialah cinta, keikhlasan, kasih sayang, tanggungjawab dan seumpamanya.

Selain itu, salah satu titik penemu cinta yang menghubungkan dua insan adalah kesesuaian yang difikirkan sama dengan dirinya…atau lebih mudah disebut sebagai sekufu.

Kebiasaannya manusia dipercayai akan memilih kesempurnaan yang dianggap sempurna pada matanya. Bak kata pepatah Melayu dahulu kala, bagai pinang dibelah dua.

Namun percaya atau tidak, sepasang suami isteri yang tular ini berjaya mengikat tali percintaan mereka sesempurna mungkin walaupun ‘berlainan’ kesempurnaan yang dimiliki.

Gambar: petikan video TikTok

Kelihatan mesra melayan perasaan cinta masing-masing, pasangan unik ini tersipu-sipu malu apabila si suami yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) menyuapkan makanan ke dalam mulut isterinya di kedai makan.

Namun apa yang menariknya, si suami tersebut, Mohd Khairuddin Che Rani menyuapkan makanan ke mulut isterinya yang dikenali sebagai Wani melalui sudu bukan dengan tangan, tetapi kaki kirinya.

Difahamkan, Khairuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Din dipercayai merupakan OKU fizikal dan sebab itulah dia menyuap isterinya dengan menggunakan kaki, malah reaksi Wani sewaktu disuap juga mencuri perhatian.

Tidak kekok walaupun agak berbeza berbanding kebiasaan, gelagat Wani yang kelihatan mesra disuap sebegitu turut dipuji orang ramai ekoran ia menunjukkan kesetiaannya kerana menerima ‘keadaan’ suaminya sepenuh cinta.

Sementara Din pula yang tidak sempurna tubuh badan, dirinya turut menambat hati warganet kerana dia sesekali tidak menjadikan keadaan fizikalnya itu penghalang untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurut perkongsian dari TikTok Along PM, difahamkan pasangan istimewa itu dikatakan baru sahaja mendirikan mahligai cinta mereka pada Jun tahun ini di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan.

Difahamkan, Din tidak menganggap keadaan itu sebagai kekurangan, malah sebaliknya dia memanfaatkan sepasang kakinya untuk mencari rezeki sebagai pelukis sepenuh masa bagi menyara keluarga di Mouth & Foot Painting Artist Sdn Bhd.

@alongpm

#CapCut #pengantinviral #pelukisviral #mzgold @syafiqazaim @fadilturrbo @jeckrilek @hazwanizzat_

♬ original sound – Helmi Irman – Helmi Irman Official

Meninjau di ruangan komentar, rata-rata warganet mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segala urusannya, amin,” kata seorang warganet.

“Semoga mereka bahagia hingga ke Jannah, Allah lindungilah mereka berdua,” kata seorang lagi warganet di ruangan komentar.

Selain itu, mereka turut mendoakan agar pasangan istimewa itu dilimpahi rahmat dan dilindungi Maha Pembesar kerana sudi menerima antara satu sama lain.

Pasangan istimewa itu berhasil menunjukkan bahawa di dunia ini kebaikan masih wujud dan membuatkan orang ramai sedar kesempurnaan bukan pengukur untuk kebahagiaan.

Secebis kasih sayang yang ditunjukkan di media sosial mampu membuka mata orang ramai mengenai penghargaan dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Sumber: Tiktok Along Pm

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana