Padah Jadikan Anak ‘Hamba Seks’, Bapa Dijatuhi Hukuman Penjara 426 tahun & 240 Sebatan
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada hari ini telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara 426 tahun dan 240 sebatan ke atas seorang penyelia sebuah syarikat pelaburan, lapor Utusan Malaysia.
Pihak mahkamah mendapati bahawa lelaki tersebut bersalah atas tuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah telah menetapkan hukuman penjara itu akan berjalan serentak dan berperingkat dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 September lalu.
Ini menjadikan hukuman keseluruhan yang dikenakan adalah berjumlah 45 tahun dan maksimum 24 sebatan.
Menurut Utusan, Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, fakta kes, keterangan impak mangsa serta hujah pendakwaan.
Berdasarkan kes, tertuduh yang berusia 56 tahun itu dilaporkan telah melakukan perbuatan keji tersebut di kediamannya di Melaka sejak kedua-dua mangsa berkenaan berusia 12 tahun lagi.
Difahamkan bahawa, tertuduh melakukan perbuatannya itu ketika isterinya berada di rumah.
Perbuatan tertuduh terbongkar selepas isterinya telah melihat sendiri perbuatan tertuduh yang sedang merogol anak keduanya dalam sebuah bilik pada 5 September 2022.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Nahwa Nazari telah memohon hakim untuk menjatuhkan hukuman berat dengan tempoh pengasingan yang lama dikenakan kepada tertuduh.
Tertuduh yang didakwa atas 28 pertuduhan itu telah merayu kepada mahkamah untuk mengambil kira keadaan kesihatannya yang merosot, selain sudah insaf dan memberitahu bahawa ahli keluarganya telah memaafkan perbuatannya itu.
Dalam pada itu, dalam prosiding yang berasingan, mahkamah majistret telah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas tertuduh kerana mengugut untuk membunuh isteri dan anak-anaknya.
Majistret Mazana Sinin juga mengarahkan agar hukuman tersebut berjalan sejurus dari tarikh tertuduh ditangkap.
Terdahulu, tertuduh telah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas 28 pertuduhan membabitkan kesalahan merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandungnya, sejak dari tujuh tahun lalu.
Sumber: Utusan Malaysia
Baca: Lubuk Rahsia Nak Makan Buffet & Spa 5 Bintang Dengan Harga Bajet Di Lembah Klang