Siakap Keli
banduan dibebaskan
Gambar: LA Times

Keputusan Mahkamah Diragui, Banduan Dibebaskan Dari Tuduhan Bunuh Pada 1999 Lepas 23 Tahun Dipenjara

Seorang banduan bernama Adnan Syed dibebaskan semula selepas 23 tahun dipenjara, malah sabitan tuduhan bunuh pada 1999 dahulu ditarik balik.

Hakim di US telah menarik balik sabitan terhadap seorang lelaki berasal dari Baltimore, Maryland bagi satu kes pembunuhan, selepas kisahnya disiarkan dalam sebuah rancangan podcast jenayah, Serial yang menjadi perhatian ramai.

Lelaki tersebut yang bernama Adnan Syed dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semasa berusia 18 tahun atas kematian bekas kekasihnya, Hae Min Lee yang ditemui mati dipercayai ditanam di sebuah hutan dalam satu tragedi pada 1999.

Bagaimanapun baru-baru ini pihak pendakwa raya meminta mahkamah untuk membatalkan sabitan ke atasnya dengan berkata semakan semula kes selama setahun telah menjumpai dua ‘suspek alternatif’ @ suspek lain bagi kes tersebut.

Menurut laporan BBC, Syed dibebaskan dan diletakkan di bawah tahanan rumahnya. Gari yang dikenakan padanya telah ditanggalkan pada Isnin selepas hampir 23 tahun masanya dihabiskan di penjara.

Kredit: Twitter

Peguam wilayah Baltimore, Melissa Phinn mengatakan bahawa beliau menarik balik sabitan tersebut demi kepentingan ketulusan dan keadilan dalam proses undang-undang.

Walau bagaimanapun, keputusan penarikan sabitan tersebut bukanlah bermakna Syed tidak bersalah, sebaliknya hakim Phinn mengarahkan agar prosiding baharu dilakukan.

Bagaimana Adnan Syed disabit bersalah hingga jadi banduan?

Imbas kembali fakta kes seperti yang dilapor BBC, Syed didakwa bersalah atas beberapa pertuduhan seperti kes pembunuhan terancang, penculikan dan rompakan pada 2000 dahulu.

Ketika waktu perbicaraan, pihak pendakwa raya berhujah bahawa Syed didakwa mencekik leher Lee yang ketika itu merupakan rakan sekelasnya di Woodlawn High School dengan bantuan seorang rakan untuk menyembunyikan jasad mangsa di Taman Leakin, Baltimore.

Kredit: Nestia

Ketika itu, pihak pendakwa raya bergantung pada data lokasi telefon mudah alih yang dipercayai tidak boleh dipercayai. Difahamkan, setiap rayuan yang difailkan oleh Syed ditolak, termasuklah salah satu percubaannya yang terbaharu pada 2019.

Bagaimanapun pada 2014, sebuah rancangan podcast jenayah, Serial telah menarik perhatian dunia terhadap kes ini, sekali gus menyebabkan segala keputusan mahkamah termasuk mensabitkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Syed mula diragui.

Episod yang menceritakan kes tersebut dimuat naik ke internet lebih daripada 340 juta kali. Malah kes ini juga turut diolah dalam pelbagai bentuk termasuklah siri dokumentari HBO pada 2019.

Adnan Syed layak untuk dibicarakan semula

Kredit: WUSA9.com

Justeru, Pejabat Peguam Negara Baltimore berkata bahawa Syed layak untuk dibicarakan semula setelah mengkaji kes tersebut sepanjang tahun lalu bersama peguam bela terbaharunya.

Pendakwa raya berkata mereka kurang keyakinan terhadap integriti sabitan, dalam masa sama turut mengenal pasti dua suspek lain yang dikenali polis sejak kes pembunuhan tersebut pada 1999.

Kedua-dua identiti mereka tidak didedahkan. Akan tetapi, pihak pegawai memberitahu bahawa suspek-suspek tersebut pernah memiliki rekod keganasan terhadap wanita, termasuklah beberapa sabitan yang dikenakan selepas kes perbicaraan Syed.

Difahamkan, salah seorang suspek telah bebas daripada siasatan atas kematian Lee, selepas gagal dalam ujian pengesan pembohongan, yang mana kaedah ini tidak lagi diterima di kebanyakan mahkamah US.

Kredit: AFP

“Pendakwaraya kami telah bersumpah untuk bukan sahaja membela secara agresif bagi pihak mangsa jenayah, tetapi bagi pihak tertuduh jika terdapat kewujudan bukti yang boleh membebaskan mereka daripada sabitan palsu,” kata pendakwa raya utama, Marilyn Mosby berucap di luar mahkamah.

Hari-hari terfikir pasal kes

Sebelum perbicaraan, abang kepada mangsa, Young Lee menitiskan air mata kerana dia tidak menolak hasil siasatan, sebaliknya telah dikaburi dengan dakwaan pihak pendakwa raya pada masa itu.

“Setiap hari ketika saya fikir ia sudah berakhir… atau ia akan terhenti, ia akan sentiasa menghantui saya kembali. Ia menyakitkan saya.

“Ini bukanlah podcast (merujuk Serial) bagi saya. Ini adalah kehidupan sebenar – mimpi ngeri yang tidak berkesudahan selama 20 tahun lebih,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam hak asasi untuk keluarga mangsa, Steve Kelly berkata, pihak keluarga Lee telah menutup diri mereka daripada proses undang-undang dan sangat kecewa dengan cara mereka diperlakukan.

“Apa yang mereka mahukan hanyalah maklumat. “Jika terdapat seseorang yang membunuh anak mereka, tiada sesiapa yang mahu mengetahuinya melebihi ahli keluarga mangsa sendiri,” katanya.

Sumber: BBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma