Siakap Keli

“Weh Anak Gajah Dah Datang,” Jadi Tradisi Toksik Sejak Dulu, Ini Antara Buli Lisan Yang Sering Dianggap ‘Gurauan’

“Ala sikit je tu.”

“Kawan gurau je tu, dah jangan nangis.”

Ayat-ayat seperti ini sudah biasa kita dengar bila orang dewasa cuba untuk memujuk kanak-kanak yang sedang menangis sama ada lepas bergaduh dengan adik beradik atau kawan-kawan. Mungkin pada pandangan mata kita, ia hanyalah perkara kecil yang tidak akan mendatangkan ‘kudis’. Namun, tanpa kita sedar, perkara kecil pada pandangan mata kita tadi belum tentu kecil impaknya pada mereka. 

Mungkin ramai tidak tahu, terdapat garis halus antara gurauan dan provokasi. Silap cara, ia boleh dikategorikan sebagai buli dan layak diambil tindakan. Berikut, kami kongsikan lima bentuk buli yang boleh berlaku di sekolah menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Jeling mata, membuat mimik muka, jelir lidah

Ketiga-tiga aksi ini tergolong dalam isyarat buli bukan lisan. Tidak dinafikan, hal sebegini sering dianggap gurauan dan dipandang ‘ringan’ kerana ia tidak mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa. Pun begitu, kita tidak dapat menolak buli jenis ini mungkin dapat mengganggu mental murid yang terlibat.

“Jangan kawan dengan dia”

Ayat ini merupakan salah satu bentuk pemulauan kepada rakan yang lain. Mungkin ada sebahagian orang dewasa menganggap ia hanyalah ‘pergaduhan’ budak-budak. Hari ini bergaduh, esok berbaik. Namun ia sebenarnya boleh meninggalkan impak kepada mental mangsa yang dipulaukan.

Palau atau disisihkan sering berlaku di sekolah atas faktor hasutan dari rakan lain atas alasan tidak suka kepada individu tersebut. Hal ini pasti membuatkan sesi pembelajaran mangsa terganggu terutama apabila melibatkan aktiviti yang memerlukan murid berada dalam satu kumpulan.

“Weh, anak gajah dah datang”

Gelaran buruk yang menghina fizikal dan sewaktu dengannya juga merupakan salah satu bentuk buli yang seringkali dianggap ‘gurauan’.

Sedar tak sedar, ia adalah salah satu bentuk gangguan ketenteraman seseorang dengan perkataan kesat dan melukakan hati sesuatu pihak.

Buli dalam bentuk lisan antara yang sering berlaku dalam masyarakat kita bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa juga. Jadi, jika dewasa yang dibuli dengan lisan sudah cukup memberi kesan yang sangat negatif pada jiwa, cuba anda fikir jika ia berlaku pada kanak-kanak yang memerlukan penerimaan rakan sebaya? Pasti kesannya lebih lagi. 

Selain tiga bentuk buli di atas yang sering diambil ringan, berikut adalah dua lagi jenis buli menurut KPM yang boleh berlaku di sekolah.

Peras ugut

Peras ugut merupakan satu tindakan pemaksaan secara kasar dari individu untuk mendapatkan sesuatu seperti wang dan sebagainya. Bukan hanya meminta sesuatu, peras ugut juga boleh jadi paksaan untuk melakukan satu perkara secara tidak rela oleh mangsa dengan ancaman pukul dan sebagainya. 

Fizikal

Buli yang sering mendapat perhatian adalah buli yang melibatkan fizikal seseorang dengan melakukan beberapa aksi “kasar” seperti menendang, menumbuk, menampar dan lain-lain lagi hingga menyebabkan kecederaan sama ada ringan mahupun parah. Perkara seperti ini sudah sering melintasi di corong telinga kita kerana terlalu banyak isu sebegini telah dilaporkan termasuk beberapa kes sehingga menyebabkan kematian.

Pernah tak anak-anak anda dibuli dalam bentuk seperti di atas? Jelir lidah, mengejek dan sebagainya mungkin dianggap gurauan kecil oleh pembuli dan hal remeh bagi orang dewasa. Tapi, tanpa kita sedar buli yang dianggap kecil ini akan membawa kesan yang buruk serta lebih serius pada masa akan datang. 

Adukan secara terus melalui Portal Aduan Buli KPM

Jika dahulu, mangsa mungkin takut untuk mengadu dek kerana risau dipersalahkan ataupun dipandang sepi. Kini, kita sudah mempunyai Portal Aduan Buli yang menghubungkan mangsa secara terus kepada kementerian.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, sebaik sahaja pihak KPM menerima aduan, mereka akan meneliti dengan lebih mendalam kes yang diajukan untuk pihak mereka mengambil tindakan sewajarnya sama ada ia berlaku di luar bandar atau tidak, sekolah asrama atau harian. 

“Kita tidak anak tirikan mana-mana sekolah. Paling penting, maklumat itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes buli,” katanya. 

Tambahnya lagi, pihak KPM telah menerima 19 aduan dilaporkan setakat 22 Ogos 2022 berkaitan kes buli menerusi portal aduan buli sejak ia dilancarkan pada bulan lalu. 16 aduan telah diterima melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) KPM dan tiga lagi menerusi aplikasi WhatsApp.

Rawat ‘kudis’ sebelum parah

Sebaiknya, sebagai orang yang lebih dewasa, kita seharusnya memandang serius terhadap aduan kanak-kanak terutama mereka yang menjadi mangsa buli. Usah memandang remeh dan menganggap buli dalam kalangan kanak-kanak sebagai perkara kecil kerana tanpa kita sedar, ia mungkin kudis yang boleh memberi kesan besar kepada mereka di kemudian hari.

Ingatlah, buli bukan jenaka dan jangan jadikan buli sebagai satu fenomena biasa. Laporkan kes buli kepada pihak berwajib sama ada pihak sekolah mahupun aduan di portal rasmi KPM di sini. 

Faiz Mustafa