Siakap Keli
peguam mati suspek suami sendiri
Gambar: BBC

Peguam Bela Hilang Ditemui Mati Atas Lereng Gunung, Suspek Utama Disyaki Suami Sendiri

Seorang peguam bela wanita yang dikatakan hilang selama 10 hari selepas melawat suaminya di sebuah akademi latihan polis ditemui mati dalam kejadian di Quito, Ecuador baru-baru ini,  lapor BBC.

Presiden Ecuador, Guillermo Lasso yang mengumumkan penemuan itu berkata, mayat mangsa yang bernama Maria Belen Bernal, 34 tahun tersebut ditemui di atas lereng gunung kira-kira lima kilometer dari akademi berkenaan.

Namun menurut jurucakap polis, suspek utama bagi kes dipercayai pembunuhan tersebut ialah suami mangsa sendiri, iaitu seorang pegawai polis berpangkat leftenan dan pemantauan kini sedang dijalankan ke atasnya.

Kali terakhir dilihat sebelum hilang

Imbas kembali kronologi kes, difahamkan pada awalnya Maria datang ke akademi tersebut pada 11 September lalu membawakan makanan untuk suaminya yang bertugas sebagai pegawai pengajar dan jurulatih di sana.

Bagaimanapun difahamkan, seperti yang dilapor dalam The Washington Post, itulah kali terakhir kelibat Maria dilihat secara umum sebelum wanita itu dilapor hilang tanpa jejak selama 10 hari.

Rentetan itu, pelbagai usaha pencarian dilakukan pihak polis sehinggalah pada Rabu lalu, mereka menemui sekujur tubuh mayat manusia yang ditemui di atas lereng gunung berapi terletak tidak jauh dari akademi berkenaan.

Gambar: BBC

Menerusi siasatan forensik, akhirnya pihak polis mengesahkan bahawa mayat manusia berjantina wanita yang ditemui tersebut rupanya ialah Maria, peguam bela yang dilapor hilang tanpa jejak selama 10 hari.

Sementara itu, suspek pula difahamkan menghilangkan diri selepas memberi kenyataan kepada pihak polis mengenai kehilangan mangsa, sebelum dipecat daripada perkhidmatan sebagai pengajar di akademi.

Dalam masa sama, pengetua akademi tersebut turut dipecat ekoran dikatakan bersubahat dengan suspek.

Sehubungan itu kerajaan Ecuador menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM90,000 kepada sesiapa yang dapat menangkap suspek yang disyaki suami mangsa sendiri.

Rakyat merusuh, kes pembunuhan wanita kian meningkat

Kredit: Getty Images via BBC

Dalam pada itu, Lasso berkata berita tersebut menyebabkan beliau berasa sakit hati dan marah yang mendalam serta berikrar bahawa pembunuhnya tidak akan terlepas dari hukuman.

Beliau turut meluahkan rasa simpati kepada ibu dan anak lelaki mangsa di ciapan Twitter miliknya.

Sementara itu, kematian mangsa mencetuskan protes orang ramai ekoran negara berkenaan telah menyaksikan lebih 200 tragedi pembunuhan melibatkan mangsa wanita pada tahun ini.

Justeru, kematian Bernal telah menyebabkan bantahan secara besar-besaran berlaku daripada saudara mara, rakan-rakan dan kumpulan hak asasi wanita di Quito termasuk ibu mangsa sendiri.

Seperti yang dilapor BBC, pembunuhan tragis peguam itu telah dikategorikan sebagai Femicide iaitu apabila seorang wanita dibunuh kerana jantinanya.

Untuk rekod badan siasatan jenayah Yayasan Aldea, pembunuhan yang melibatkan wanita di Ecuador dilapor semakin meningkat di mana seramai 206 wanita telah terbunuh setakat 3 September baru-baru ini.

Sumber: BBC

Nurhanis

Sebahagian bahagia juga melepaskan