Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Seorang lelaki ditahan polis kerana didakwa menyeludup dan menjual ikan piranha secara haram di rumahnya dalam kes di Bangkok, Thailand baru-baru ini, lapor The Thaiger.
Dalam satu serbuan ke rumahnya, sejumlah enam ekor ikan piranha yang berukuran enam hingga tujuh sentimeter (cm) panjang setiap satu ditemui sebelum dirampas pihak polis.
Jurucakap Biro Siasatan Pusat (CIB) Thailand dan Jabatan Perikanan mendedahkan bahawa suspek telah menjual piranha secara haram melalui internet sejak setahun lalu.
Pihak polis berkata, hasil siasatan terhadap operasi akuatik haram itu mendapati suspek menjual piranha berkenaan dengan harga beribu-beribu sehingga mencecah puluhan ribu ringgit kepada pelanggan.
Siasatan itu membawa kepada pengumpulan bukti untuk mendapatkan waran tangkap daripada mahkamah bagi menggeledah kediaman suspek yang terletak di daerah Sai Mai.
Pasukan penyiasat menjelaskan, walaupun enam piranha mungkin dilihat tidak banyak, namun memandangkan Thailand adalah beriklim tropika, ikan itu akan membiak dengan cepat jika dilepaskan ke alam liar.

Justeru suspek ditangkap atas kesalahan memiliki haiwan akuatik secara haram yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh manusia, haiwan lain serta ekosistem tempatan.
Dalam pada itu, suspek juga didapati melanggar Seksyen 53 dan Seksyen 67 Akta Perikanan Thailand (1947).
Difahamkan, mengimport atau memiliki piranha hidup adalah haram di Thailand dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak lebih daripada RM14,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Walaupun piranha disifatkan sebagai haiwan yang agresif seperti dalam filem Piranha (2010), namun spesies berasal dari Amerika Selatan itu dipercayai lebih berbahaya kepada ikan asal (ekosistem) berbanding manusia.
Piranha adakalanya boleh menyerang manusia sehingga mengakibatkan kecederaan ringan, namun tidak mustahil ia juga boleh menyebabkan kematian.
Sekiranya piranha memasuki kawasan air semulajadi di Thailand, spesies itu berisiko boleh merosakkan ekosistem tempatan serta spesies ikan asal di perairan itu.
Sumber: The Thaiger