Siakap Keli
Kredit BERNAMA

Kronologi Kes Rasuah Ahmad Zahid Berkaitan Sistem VLN

Kronologi kes rasuah Ahmad Zahid berkaitan sistem VLN

SHAH ALAM, 23 Sept (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan:

26 Jun 2019 – Ahmad Zahid didakwa tujuh pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berjumlah SG$4.24 juta, berhubung sistem VLN di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

27 Jun 2019 – Ahmad Zahid didakwa 33 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB membabitkan sistem VLN di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

31 Jul 2019 – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi memindahkan tujuh pertuduhan yang dihadapi ahli politik itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

28 Nov 2019 – Kes Ahmad Zahid dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

6 Jan 2020 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menetapkan 12 April untuk perbicaraan kes itu.

16 Mac 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan 16 hari bermula 24, 25 dan 27 Mei, 1-3 Jun, 14-18 Jun dan 21-25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Sebelum ini kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 12 April ini tetapi ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kemudiannya ditunda ke Mei hingga Jun berikutan pertukaran Hakim Mahkamah Tinggi.

24 Mei 2021 – Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid bermula.

1 Jun 2021 – Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguhkan ke 15 Jun berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama di seluruh negara selama dua minggu.

23 Jun 2021 – Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguhkan lagi ke 5 hingga 7 Julai susulan pelaksanaan PKP 3.0.

11 Ogos 2021 – Selepas dua kali ditangguh berikutan pelaksanaan PKP 3.0, perbicaraan kes Ahmad Zahid ditetapkan pada 25 Ogos, 1 dan 2 Sept.

25 Ogos 2021 – Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan pembelaan dan meneliti surat hospital berhubung kecederaan dialami ahli politik itu.

1 Sept 2021 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya kerana masih bercuti sakit sehingga 4 Sept dan menetapkan 28 Sept, 22 Okt, 18 hingga 19 Nov dan 20 hingga 24 Dis untuk sambung bicara.

11 Okt 2021 – Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Ahmad Zahid supaya pasport ahli politik itu dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan akibat sakit belakang serta leher di Munich, Jerman.

23 Dis 2021 – Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan Ahmad Zahid pada hari tersebut dan 24 Dis berikutan ahli politik itu tidak sihat serta menetapkan 3 Feb 2022 untuk sambung bicara.

11 Ogos 2022 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 29 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 18 saksi.

1 Sept 2022 – Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula.

7 Sept 2022 – Hakim Mohd Yazid menetapkan 23 Sept 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan selama empat hari.

— BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka